KUALA LUMPUR – Seorang mangsa yang terlibat dalam insiden membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran Stesen KLCC malam tadi melahirkan rasa serik untuk menggunakan pengangkutan awam itu lagi.
Menceritakan kepada MalaysiaGazette Rizaril Haikal, 21, berkata, dia merasakan tidak selamat untuk menggunakan perkhidmatan awam itu dan akan memilih untuk menaiki kenderaan sendiri selepas ini.
Dia yang menerima sebanyak 12 jahitan di kepala akibat kecederaan dalam kemalangan itu mendakwa, dia yakin kejadian berlaku akibat daripada kecuaian pihak pengendali RapidKL itu sendiri.
Selain kecederaan dikepala, Rizaril turut memberitahu, dia turut mengalami kecederaan pada bibir dan pergelangan tangan.
“Saya rasa kecuaian pihak RapidKL sendiri. Kalau dilihat pada skrin sebelum saya menaiki tren ditulis pada paparan sepatutnya saya menaiki tren lagi lima minit.
“Tapi ada satu tren tiba dan itulah yang saya naik. Tren inilah yang terlibat dalam kemalangan itu,” katanya yang memberitahu menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Rizaril berkata, sebelum perlanggaran berlaku dia hanya menyangka tren yang dinaiki itu sekadar membrek biasa untuk berhenti namun, tiba-tiba terhenti secara mengejut menyebabkan penumpang yang berdiri terjatuh.
Keadaan itu telah menyebabkan panik dalam kalangan penumpang kerana ramai yang mengalami luka-luka akibat kecederaan terkena serpihan kaca dan sebagainya.
Katanya, apa yang paling menyedihkan ialah terdapat warga emas turut tercedera dalam insiden tidak disangka-sangka itu.
Bercakap mengenai kecederaan yang dihadapi Rizaril berkata, luka dikepalanya agak serius dan doktor memberitahu keadaan luka itu juga saiznya agak besar.
“Untuk keselamatan diri sendiri keluarga dan rakan-rakan, saya tak syorkan guna khidmat LRT ini.
“Kita bermain dengan nyawa kalau malang tu kita memang tak tahu…kalau ada tren yang datang kami rasa macam tak selamat,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai bantuan khas daripada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebanyak RM1,000 kepada setiap penumpang tanpa mengiri tahap kecederaan yang dialami, Rizaril berkata, jumlah sumbangan yang diberikan tidak berbaloi dengan apa yang menimpa dirinya.
Katanya, dia sendiri tidak tahu akan tahap keseriusan yang dialami akibat luka dikepalanya itu.
“Saya rasa bayaran RM1000 tu tak cukup sebab cedera di kepala saya ni tak tahulah boleh baik macam mana sebab luka ni pun dalam.
“Nak cakap saya ok 100 peratus memang tak ok…saya rasa bila dah jadi begini guna kenderaan sendiri lebih baik sebab kalau naik kenderaan sendiri tak perlu salahkan orang lain,” ujarnya.
Bagaimanapun, Rizaril berharap agar RapidKL berbuat sesuatu agar perkara sama tidak berulang pada masa akang datang.
Ini kerana, katanya, insiden seperti itu jika berlaku melibatkan nyawa orang yang tidak boleh dibeli. – MalaysiaGazette