Home Utama Jun hingga Ogos kemuncak vaksinasi Covid-19

Jun hingga Ogos kemuncak vaksinasi Covid-19

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Bulan Jun, Julai dan Ogos dijangka menjadi kemuncak kepada pemberian vaksin Covid-19 di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengakui ketika ini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berdepan kekangan bekalan.

Bagaimanapun, masalah berkenaan diyakini diatasi bulan depan dengan penghantaran lebih banyak bekalan vaksin.

“Kerajaan yakin pada Jun, Julai dan Ogos akan menjadi kemuncak pemberian vaksin Covid-19,” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Pada masa sama, Khairy berkata, Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd, yang membotolkan vaksin Covid-19 keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd China, tidak berdepan sebarang masalah pembekalan vaksin berkenaan.

Lantaran itu, pihaknya yakin syarikat itu mampu memenuhi permintaan vaksin mengikut garis masa ditetapkan.

Selain pembotolan vaksin yang dibuat di fasilitinya di Puchong, syarikat itu juga membawa masuk vaksin sedia terbotol dari China untuk meningkatkan lagi pemberian vaksin Covid-19 yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

“Pharmaniaga membawa masuk tambahan vaksin tersedia atas inisiatif sendiri untuk membantu usaha kerajaan melalui PICK. Saya rasa pemerolehan ini akan membantu meningkatkan proses pemberian vaksin pada Jun,” ujarnya.

Sementara itu, Khairy berkata, sebanyak 260,910 lagi dos vaksin Pfizer akan tiba minggu ini menjadikan jumlah dos diterima setakat ini sebanyak 2,751, 840.

Ujarnya, sebanyak 198,800 dos vaksin Pfizer akan tiba Khamis ini manakala 62,010 dos lagi pada Jumaat.

“Sebanyak 320,000 dos vaksin daripada Sinovac (CoronaVac) yang dibotolkan oleh Pharmaniaga akan turut diberikan minggu ini.

“Ini adalah penambahan kepada 500,000 vaksin Sinovac (CoronaVac) yang tiba 21 Mei lalu, bersama 559,200 dos AstraZeneca daripada Covax.

“Satu lagi penghantaran bekalan vaksin AstraZeneca dijadualkan pada hujung bulan ini dengan jumlah yang sama.

“Seperti biasa, Pfizer dan Sinovac akan terus diedarkan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Am di bawah PICK, sementara AstraZeneca akan dihantar ke PPV AZ untuk inisiatif sukarela,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.