KUALA LUMPUR – Orang ramai diberi amaran keras supaya menghentikan sebarang bentuk andaian atau spekulasi berkaitan insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen KLCC di bawah tanah 8.45 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis mengesan banyak spekulasi dan andaian tular mengenai insiden itu yang tularĀ dalam media sosial sejak tengah malam tadi.
Sehubungan itu, Mohamad Zainal menasihatkan orang ramai menghentikan perbuatan itu dengan segera.
“Saya menasihatkan ramai berhati-hati dan jangan buat spekulasi andaian atau memberi pendapat sendiri yang akan menyebabkan kekeliruan, kegusaran awam, boleh tergugat ketenteraman awam dengan spekulasi tidak bertanggungjawab itu.
“Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana malam tadi Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Wee Ka Siong) memberitahu Task Force akan ditubuhkan dan akan mengemukakan hasil siasatan insiden itu dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya di sini hari ini.
Katanya semua pihak perlu memberikan masa dan peluang agarĀ insiden itu dapat disiasat secara teliti dan mendalam sebelum satu kesimpulan siasatan mengenai punca kejadian diperoleh.
“Saya nasihat orang awam jangan sesekali membuat spekulasi yang bukan-bukan.
‘Perbuatan tidak bertanggungjawab itu hanya akan menyebabkan orang ramai resah dan takut naik LRT selepas ini,” tegas beliau.- MalaysiaGazette