KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kes pertama membabitkan rakyat tempatan yang didapati positif Covid-19 dengan varian membimbangkan (VOC) India B.1.617.2.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes tersebut adalah kontak rapat kepada seorang individu warga India yang bersamanya ketika menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Wilayah Persekutuan Labuan pada 23 April lalu.
Katanya, warga asing itu dikesan positif Covid-19 ketika tempoh kuarantin manakala, rakyat tempatan itu pula mempunyai gejala pada 3 Mei lalu.
“Dia seterusnya menjalani ujian Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) pada hari sama dan dikesan positif sehari selepas itu apabila menjalani Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).
“Sehingga kini terdapat enam kes yang dijangkiti varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2),” katanya menerusi kenyataan media berkaitan situasi semasa Covid-19 hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan 15 kluster baharu Covid-19 dengan 10 daripadanya membabitkan tempat kerja.
Ujarnya, empat lagi kluster adalah berkaitan komuniti dan baki satu membabitkan kluster keagamaan.
Jelasnya, daripada jumlah kluster baharu itu, empat kluster di Selangor manakala tiga di Johor dan masing-masing satu di Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sabah, Perak, Pahang serta Sarawak.
“Kluster tempat kerja adalah Kluster Tapak Bina Persiaran Setia Dagang yang merekodkan tujuh kes positif Covid-19, Jalan Enam Selatan 1A (18 kes), Jalan Cemerlang Elektrik (18) dan Tasek Raja (34).
“Selain itu, Kluster Jalan Segambut Lentang (24), Perusahaan Maju Enam (9), Dah Charok Bemban (34), Kalabakan Selatan (22), Industri Kledang Satu (21) dan Sungai Isap Perdana (60),” ujarnya.
Tambah beliau, bagi kluster komuniti pula, sebanyak 24 kes positif dilaporkan dalam Kluster Jalan Tahir Manan manakala, Jalan Dato Permaisuri merekodkan 31 kes, Jalan Selendang (12) dan Jalan Sekuntum (17).
Katanya lagi, kluster keagamaan membabitkan Kluster Desa Pinggiran Putra yang merekodkan 18 kes. – MalaysiaGazette