KUALA LUMPUR – Penyanyi Iman Troye akhirnya memohon maaf susulan membuat ciapan kontroversi seakan mempersendakan angka jangkitan pandemik Covid-19 pada Ahad lalu.
Menerusi Instagram miliknya, Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 19, mengakui kesilapan dilakukanya selepas sehari mendiamkan diri termasuk menyahaktif akaun Twitter miliknya.
“Saya mohon maaf atas kesilapan yang berlaku. Saya hanya tersedar melakukan kesilapan selepas ciapan dimuat naik. Ia mengelirukan dan itu kesilapan saya.
“Saya bersikap tidak sensitif dan kesilapan seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Saya langsung tidak berniat melukakan hati sesiapa termasuklah petugas barisan hadapan dan mereka yang terkesan akibat Covid-19.
Kelmarin, ciapan dibuat mengenai angka jangkitan COVID-19 menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan netizen yang dianggap tidak sensitif sehingga ramai memohon nama Iman disenarai hitam daripada industri seni.
Menerusi ciapan itu, Iman menulis angka jangkitan harian Covud-19 disertai perkataan ‘happy’ seolah gembira dengan angka jangkitan yang semakin meningkat.
“Happy 6,900 everyone! Tahniah! Harap esok dapat 7,000 hihi,” tulisnya.
Tindakan Iman menyebabkannya menerima kecaman teruk kerana menjadikan isu serius yang sudah mengorbankan banyak nyawa sebagai bahan gurauan.
Selepas dikecam teruk akibat ciapan berkenaan, Iman akhirnya dilihat menyahaktif akaun Twitter, beberapa jam kemudian. – MalaysiaGazette