Home Sukan ASTAF tambah hukuman Tok Mat, digantung 17 tahun

ASTAF tambah hukuman Tok Mat, digantung 17 tahun

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menambah hukuman ke atas Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail yang ‘membisu’ daripada proses rayuan dan gagal membayar kos panel perbicaraan disiplin.

Ahmad atau dikenali sebagai Tok Mat mempunyai tempoh 14 hari sejak 6 Mei lalu untuk melunaskan kos perbicaraan ke atasnya yang berjumlah AS$25,000 (RM103,625) namun pendekatan mendiamkan diri, menjadikan tempoh hukuman penggantungan diterimanya kini menjadi 17 tahun berbanding 15 tahun sebelum ini.

Dalam surat yang ditulis Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpirat semalam, Ahmad dianggap gagal untuk membayar jumlah kos perbicaraan berkenaan dan tempoh masa rayuan 14 hari ke atasnya turut tidak diendahkan.

Justeru, ASTAF mengambil keputusan untuk menambah dua tahun penggantungan ke atas Ahmad sekali gus menjadikan jumlah hukuman diterima presiden PSM itu kepada 17 tahun berkuatkuasa dari 6 Mei lalu.

“Oleh itu, ASTAF memutuskan untuk menjatuhkan tambahan dua tahun menjadikan jumlah penggantungan yang dikenakan kepada 17 tahun (tempatan dan antarabangsa) berkuatkuasa 6 Mei lalu.

“Dalam tempoh penggantungan, kamu dilarang daripada membabitkan diri dalam aktiviti sepak taktaw baik selaku pemain, jurulatih, pegawai di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” jelas surat berkenaan.

Antara pertuduhan berkenaan adalah melanggar Artikel 5.5 Perlembagaan ASTAF, apabila Ahmad menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dengan meminta dua badan berkenaan untuk campur tangan dalam Pemilihan Ahli Majlis ASTAF pada 1 Mac lalu. – MalaysiaGazette