Home Utama PKPD: Kuantan sunyi sepi

PKPD: Kuantan sunyi sepi

Deretan kedai di Kuantan ditutup tepat jam 8 malam.

KUANTAN – Kuantan yang selalunya sibuk dan tidak pernah sunyi dengan aktiviti penghuni-penghuninya kini lengang pada waktu malam.

Tinjauan wartawan MalaysiaGazette malam tadi mendapati situasi sekitar bandar ini sunyi sepi selepas lebih 48 jam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) di Kuantan.

Semua kegiatan ekonomi tidak dijalankan sama sekali selepas jam 8 malam.

Premis kedai, restoran dan stesen minyak yang selalunya menjadi tumpuan orang ramai ditutup pada jam 8 malam, selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kenderaan yang melalui jalan-jalan raya juga boleh dikira.

Jalan utama menghala ke bandaraya Kuantan kelihatan lengang dan sepi

Hanya lampu-lampu yang menerangi jalan-jalan raya yang sunyi-sepi.

Sesekali kelihatan kereta peronda melalui kawasan-kawasan premis, dipercayai membuat rondaan untuk memastikan semua warga Kuantan mematuhi peraturan pelaksanaan PKPD.

Seramai 207,967 orang atau 90 peratus penduduk di tujuh mukim daerah ini terbabit dalam PKPD selama dua minggu yang berkuat kuasa 24 Mei hingga 6 Julai ini.

Hanya cahaya lampu neon mewarnai malam di Kuantan

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan sepanjang tempoh PKPD itu, laluan tikus ke Kuantan akan ditutup sepenuhnya menggunakan penghadang konkrit dan kawat duri.

Selain itu, sekatan jalan raya akan diadakan di enam lokasi laluan utama keluar masuk daerah ini, termasuk Tanjung Lumpur, Kampung Chendor, Gambang dan laluan Pekan-Kuantan.

Pada 22 Mei lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, PKPD perlu dilaksanakan di daerah ini kerana daripada 6,548 ujian saringan ke atas individu yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM), seramai 619 individu disahkan positif Covid-19.

Stesen minyak dan premis ditutup tepat jam 8 malamBerdasarkan tinjauan wartawan MalaysiaGazette mendapati kebanyakan penduduk daerah ini patuh kepada arahan PKPD yang berkuatkuasa sekarang.

Apatah lagi, Kuantan sudah merekodkan angka tiga digit kes jangkitan Covid-19.

Pada perkembangan sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan kadar pematuhan (SOP) masyarakat Kuantan berada pada tahap 97 hingga 98 peratus pada ketika ini.

Anggota keselamatan berpadu tenaga di semua sekatan jalan raya (SJR) di Kuantan

Katanya, sekatan jalan raya dan penutupan lorong tikus telah dilaksanakan dengan rapi bagi menghadkan pergerakan orang awam dan memathuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Persoalannya adakah keadaan Kuantan pada siang hari sama seperti malam hari?

Tinjauan berikutnya akan menyusul untuk melihat kesedaran masyarakat dalam berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 yang semakin getir ini. – MalaysiaGazette