
Bagi mengelak sekatan jalan raya, mereka menggunakan laluan tikus untuk merentas sempadan daerah atau negeri. Yang diarah kuarantin kendiri dan sudah dipakaikan gelang kuarantin pun dilihat bebas bergerak ke sana sini.
Arahan dan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu bukan sengaja dicipta, tetapi ia sangat penting jika lebih 30 juta rakyat Malaysia mahu keadaan kembali seperti sedia kala sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Lebih setahun sudah berlalu, tidak jemu-jemu menteri-menteri dan pegawai-pegawai kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal kesihatan dan kawalan pergerakan menyampaikan pesan, merayu supaya seluruh rakyat sama-sama membantu memerangi virus berbahaya ini.
Segala langkah yang perlu sudah dilaksanakan kerajaan, namun kes Covid-19 di negara kita bukan berkurangan, sebaliknya jumlah jangkitan baharu dan kematian semakin membimbangkan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri merayu rakyat melakukan sekatan pergerakan kendiri atau self-lockdown untuk menyekat peningkatan mendadak COVID-19, menasihatkan supaya turut mengingatkan orang lain untuk berbuat perkara sama.
Beliau mengakui, apa pun usaha kerajaan tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada SOP yang ditetapkan. Buatlah PKP penuh sekali pun, selagi rakyat tidak bersatu hati, selagi itulah Covid-19 akan terus menghantui.
“Sebaiknya kita bekerjasama, tak payah nak salah-menyalahkan, cari jalan, berdoa semoga kita diberikan perlindungan dan dengan usaha ini insya-Allah, kita akan menang,” kata Perdana Menteri dalam sebuah program bicara khas, baru-baru ini.
Salah-menyalahkan itu memang ada dalam kalangan kita, segala usaha kerajaan selalu diperlekehkan. Buat langkah itu tidak betul, buat langkah ini juga tidak betul, semuanya dituduh tidak betul.
Disebabkan itu, kerajaan memutuskan tidak melaksanakan PKP penuh ketika ini seperti PKP 1.0 kerana ia akan menjejaskan kehidupan rakyat dan menyebabkan lebih ramai hilang pekerjaan, selain ketidakupayaan bangkit memulihkan kehidupan dan ekonomi.
Bayangkan jika ratusan ribu atau jutaan rakyat tidak bekerja, ekonomi pula runtuh dan perlu dibangunkan semula seperti yang berlaku pasca PKP 1.0 di mana kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja RM340 bilion melalui enam pakej rangsangan untuk membantu rakyat dan memulihkan ekonomi negara.
Penutupan semua sektor ekonomi ketika PKP 1.0 pada 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 bukan sahaja menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion setiap hari, tetapi ramai rakyat kehilangan pekerjaan selain peniaga kecil turut terjejas teruk.
Jika PKP penuh seperti itu dilaksanakan, negara berkemungkinan memerlukan sehingga setengah trilion ringgit bagi membantu rakyat dan merangsang semula ekonomi negara.
Ayuh sama-sama kita bersatu hati memerangi musuh tidak kelihatan ini. Patuhilah segala arahan dan larangan yang dikeluarkan, usahlah situasi cemas ketika ini dijadikan kesempatan untuk menghasut dan menanam bibit kebencian.