Home Nasional Lebih 3,000 dijangka jalani saringan Covid-19 di DUN Paya Jaras

Lebih 3,000 dijangka jalani saringan Covid-19 di DUN Paya Jaras

Penduduk setempat yang beratur panjang untuk menerima ujian saringan Covid-19 peringkat DUN Paya Jaras secara percuma yang dilakukan oleh petugas Kesihatan Sel Care Selangor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan MBSA Seri Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2021.

SUNGAI BULOH – Kerajaan Negeri Selangor mensasarkan lebih 3,000 orang yang akan menjalani ujian saringan Covid-19 secara percuma di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, di sini, hari ini.

Exco Selangor, Mohd Khairuddin Othman tidak menolak kemungkinan jumlah itu akan meningkat susulan program Saringan Komuniti Covid-19 turut menerima orang ramai secara walk-in tanpa temu janji.

“Setakat hari ini yang telah berdaftar melalui sistem SELangkah melibatkan 2,700 orang yang mencecah 3,000 sekarang.

” Jumlah itu tidak termasuk walk-in. Saya jangka hari ini menjelang 4 petang ini, kita akan dapat cecah 3,200 orang,” katanya pada sidang media, hari ini.

Mohd Khairuddin Othman

Terdahulu Mohd Khairuddin yang juga Ahli Dewan Negeri Paya Jaras membuat tinjauan program saringan komuniti Covid-19 di Dewan MBSA Seri Pagi, Zon 23, Paya Jaras Tengah, di sini.

Program saringan RTK-Antigen Covid-19 secara percuma peringkat DUN Paya Jaras itu melibatkan lapan doktor dan 120 sukarelawan yang bertugas secara dua shift.

Dalam pada itu, kehadiran orang ramai seawal jam 8.30 pagi tadi menunjukkan tahap kesedaran orang ramai kepada pentingnya membuat saringan semakin tinggi.

“Saya fikir kesedaran rakyat semakin hari semakin bertambah dan rakyat di Selangor ini mempunyai kepekaan ingin mengawal Covid-19.

“Sebab itu hari ini saya lihat ramai dalam kalangan orang Melayu, bahkan Cina dan India pun datang dari jauh untuk datang ke Paya Jaras ini,” katanya.

Gelagat penduduk setempat menerima ujian saringan Covid-19 peringkat DUN Paya Jaras secara percuma yang dilakukan oleh petugas Kesihatan Sel Care Selangor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan MBSA Seri Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2021.

Mohd Khairuddin tidak menolak kemungkinan sekiranya jumlah saringan mencecah 3,000 orang hari ini, ia sekali gus menjadikan Paya Jaras sebagai DUN paling tinggi di Selangor.

“Kalau jumlah itu dicapai, Paya Jaras akan menjadi pusat saringan pertama tertinggi dalam Selangor.

“Setakat ini saya tengok rekod ada hanya ada 1,600 dan 1,700 orang sahaja di DUN lain. Tapi kita boleh mencecah lebih 3,000 orang.

“Jadi ini satu kesedaran yang baik dan kita cuma nak tahu rakyat ini sihat atau tidak, berjangkit atau tidak,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette