Home Utama Bimbang jangkitan Covid-19 punca ramai buat saringan percuma

Bimbang jangkitan Covid-19 punca ramai buat saringan percuma

VOC VOI omicron delta variant of concern interest Covid-19 cluster clusters screening (Picture for representational purposes only) Healthcare workers from Sel Care Selangor using the Biosenser F200 machine to get Covid-19 screening result at Dewan MBSA Seri Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Selangor. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 26 MAY 2021. Covid-19 cases
(Picture for representational purposes only) Healthcare workers from Sel Care Selangor using the Biosenser F200 machine to get Covid-19 screening result at Dewan MBSA Seri Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Selangor. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 26 MAY 2021.

SUNGAI BULOH – Langkah Kerajaan Negeri Selangor melakukan ujian saringan Covid-19 bersasar dalam kalangan komuniti secara percuma mendapat pujian pelbagai pihak kerana keberkesanannya.

Sejak saringan komuniti itu diperkenalkan sejak 8 Mei lalu, jumlah kes baharu positif Covid-19 dikesan dengan lebih kerap dan kini angkanya mencecah lebih 2,000 sejak 23 Mei lalu.

Bukan itu sahaja, kos saringan yang mencecah lebih RM100 itu pula tidak lagi membebani rakyat malah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan khususnya kesihatan rakyat diberi keutamaan.

Tinjauan MalaysiaGazette di pusat saringan komuniti di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras hari ini mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ujian saringan Covid-19 secara percuma.

Seawal jam 8.30 pagi, orang ramai mula beratur panjang sehingga 200 meter di bahu jalan, semata-mata untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma itu, di samping kebimbangan dengan angka positif Covid-19 yang kini mencecah lebih 7,000 di seluruh negara.

Ali Aziz

Menurut Ali Aziz, 64, dia dan isterinya berasa selamat untuk menjalani saringan Covid-19 meskipun dibuat secara berkelompok bersama orang ramai yang lain.

“Program ini bagus, teratur, kita rasa selamat datang sini, walaupun orang ramai, kita tengok jarak pun ada orang jaga, memang rasa selamat.

“Program ini sangat baik dan saya harap keputusan saringan ini negatif la,” katanya.

Selain faktor keselesaan, Ali tidak menafikan ujian saringan bersasar yang dibuat secara percuma juga menggalakkan orang ramai keluar menjalani ujian kesihatan itu.

“Bila percuma memang dapat galakkan orang ramai buat saringan, lagi ramai buat saringan lagi bagus.

“Kalau semua nak buat tu terpulang kepada kemampuan, sebab kosnya tinggi,” katanya kepada MalaysiaGazette di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras, di sini, hari ini.

Nur Halimah Ahmad

Sementara itu, Nur Halimah Ahmad, 30, mengakui kos ujian saringan terlalu tinggi punca dia dan keluarganya menangguhkan ujian kesihatan kerana faktor kewangan, di samping jumlah ahli keluarga yang ramai.

“Sebelum ini pun ada juga (buat saringan), cuma kita berfikir sebab ujian ini mahal bukan semua orang mampu.

“Lepas tahu kerajaan negeri ada secara percuma, kita cepat-cepat daftar, lagi pun kes sudah meningkat banyak, jadi kita pun takut juga,” katanya.

Katanya, walaupun dia, suami dan anak-anaknya tiada simptom, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka terus menjalani saringan itu.

“Saringan ni semuanya okay, lebih baik yang belum buat tu buat lah sebagai langkah berjaga-jaga untuk anak dan keluarga semua

“Sekarang ini Covid-19 merebak luas, kalau tak buat ujian saringan, kita pun tak tahu kita ini pembawa atau kita dijangkiti,” katanya.

Yani Biyani

Bagi Yani Biyani, 37, atas kesedaran sendiri dan jumlah kes semakin bertambah menyebabkan dia terus membawa anak-anak untuk membuat ujian saringan Covid-19 hari ini.

“Malah baru-baru ini pun kawasan rumah saya memang ada dua tiga kes Covid-19.

“Sebab itu saya ambil inisiatif untuk buat swab test hari ini,” katanya.

Yani juga tidak menafikan faktor ujian saringan dibuat secara percuma juga antara tarikan utama untuk dia dan tiga anak-anak ke pusat saringan itu.

“Memang kita nanti saringan percuma, kalau nak tunggu buat sendiri pergi ke hospital swasta memang kos tinggi dengan anak pula ramai, susah juga,” katanya.

Md Amer Ahmad

Sementara itu, menurut seorang warga emas, Md Amer Ahmad, 67, ini merupakan kali pertama dia menjalani ujian saringan Covid-19, namun akui sebelum ini tiada maklumat untuk melakukannya.

“Saya pertama kali buat swab. Mungkin boleh jadi kes tinggi hari ini, sebab itu saya datang.

“Memang dah lama nak datang tapi tak tahu tempat mana nak pergi. Bila AJK kampung suruh datang, saya datang lah, saringan percuma baguslah Alhamdulillah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

+ posts