KUALA LUMPUR – Mangsa-mangsa kemalangan tren LRT terbabit yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan disahkan mengalami kes bencana kerja layak menerima bantuan faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan.
Bagi mangsa kemalangan yang terdiri daripada Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang berdaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta 789, mereka layak memohon faedah-faedah Perkeso jika kemalangan tersebut berlaku sewaktu mereka menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri atau dalam perjalanan pergi bekerja atau balik ke rumah.
Antara manfaat yang disediakan kepada mangsa-mangsa kemalangan yang layak di bawah kedua-dua akta tersebut adalah rawatan perubatan percuma di klinik panel PERKESO atau klinik dan hospital Kerajaan menerusi Faedah Perubatan.
Selain itu, mereka yang diberi cuti sakit yang disahkan oleh doktor akan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit mereka.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, jika terdapat mangsa yang disahkan mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan hilang upaya kekal akibat kemalangan tersebut, mereka akan dibantu dengan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) dan Kemudahan Pemulihan Jasmani iaitu bekalan alat-alat prostetik, ortotik dan ortopedik seperti kaki dan tangan palsu, kerusi roda, tongkat dan kasut khas.
Katanya, mengambil kira keadaan mangsa yang cedera dan mungkin sedang menjalani rawatan, majikan ataupun ahli keluarga mangsa diminta supaya segera mengemukakan tuntutan permohonan faedah di mana-mana pejabat Perkeso yang berdekatan.
”Kementerian dan Perkeso komited untuk memproses tuntutan faedah daripada mangsa-mangsa kemalangan terbabit dan memastikan segala bantuan disalurkan dengan kadar segera,” katanya sambil menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa terlibat.
Untuk sebarang urusan dan pertanyaan lanjut, sila hubungi nombor careline PERKESO di 1-300-22-8000 atau e-melkan kepada [email protected] MalaysiaGazette