SEREMBAN – 10 orang warga emas yang menerima saman RM3,000 seorang kerana tidak mematuhi dua prosedur operasi standard (SOP) membela diri dengan pelbagai alasan.
China Press melaporkan, polis telah memeriksa sebuah pusat penjaja di Seremban, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu setelah menerima laporan mengenai terdapat orang berkumpul dan berjudi.
Apabila tiba di tempat kejadian, sebanyak 10 orang didapati berkumpul di tempat itu tanpa melakukan pengimbasan MySejahtera dan menyemak suhu sekali gus melanggar dua SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
10 “uncle” warga emas yang menerima saman itu bagaimanapun tampil dengan pelbagai alasan untuk membela diri dan menafikan berkumpul untuk berjudi di pusat penjaja.
Seorang berkata dia meminjam tandas tetapi tidak bernasib baik kerana bertembung polis, ada yang mempertahankan diri sedang mahu membungkus makanan manakala kebanyakan mereka berkata berada di tempat kejadian kerana “membawang” dan tidak berjudi.
Daripada 10 orang itu, sembilan adalah keturunan Cina dan seorang keturunan India dengan umur mereka antara 53 hingga 82 tahun.
Kes mereka turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Tan Lee Koon yang juga berasa tidak berdaya dengan alasan-alasan yang diterima.
“Ada satu ‘uncle’ yang bertanya kepada saya adakah dia bersalah kerana bungkus makanan selepas pergi ke pasar. Satu lagi bertanya adakah dia bersalah kerana gunakan tandas,” kata Lee Koon.
Menurut wakil rakyat itu, walaupun mempunyai alasan sendiri, tetapi golongan warga emas itu gagal menampilkan bukti dan alasan yang kukuh untuk membela diri.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak keluar rumah tanpa urusan penting,” katanya.
Sementara itu, Kwong Wah Yit Poh melaporkan, penganut agama Buddha di Pulau Pinang merayakan Hari Wesak dengan norma baharu.
Beberapa pusat keagamaan telah menyiarkan upacara secara dalam talian manakala di Persatuan Buddha Pulau Pinang, kelihatan ada penganut yang melakukan pemujaan ringkas secara “pandu lalu” dengan menghentikan kenderaan secara sejenak di hadapan pintu pagar yang dikunci. – MalaysiaGazette