Home Pendapat Tren bertembung: Kesilapan manusia hanya simptom

Tren bertembung: Kesilapan manusia hanya simptom

Petugas melakukan kerja-kerja menunda gerabak tren Transit Aliran Ringan (LRT) berikutan terlibat dalam kemalangan dua LRT yang bertembung dari arah Gombak dan Kelana Jaya pada 24 Mei lalu di Kompleks Rapid Rail Subang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2021.

PADA 24 Mei 2021, insiden pertembungan dua tren LRT merupakan peristiwa yang belum
pernah terjadi sebelum ini dalam lebih dari 20 tahun operasinya. Seramai 213 orang
penumpang dilaporkan cedera; sebahagian kecil daripadanya mengalami kecederaan kritikal memerlukan rawatan rapi, manakala yang lain memerlukan pemerhatian lanjut perubatan.

Human Factors and Ergonomics Society Malaysia (HFEM) menyambut baik pengumuman Prasarana mengenai bantuan segera kepada semua mangsa. Ini jelas merupakan tindak balas positif yang diharapkan daripada syarikat pengendali tren tersebut. Kami berharap dan berdoa agar mangsa-mangsa kembali pulih dan sihat sepenuhnya.

Walaupun sering ditekankan bahawa semua kemalangan boleh dielakkan, namun kesilapan dan kecuaian manusia sering dijadikan alasan berlakunya kemalangan sepertimana dalam laporan awal Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). HFEM sebagai sebuah komuniti profesional faktor manusia dan ergonomik (termasuk keselamatan dan kesihatan) amat menitikberatkan siasatan punca asas yang menyebabkan insiden ini.

HFEM percaya bahawa matlamat siasatan kemalangan harus ditumpukan kepada aspek
pencegahan melalui strategi mengenalpasti masalah sistemik dan organisasi serta
mengetengahkan pendekatan ‘tidak menyalahkan’ tetapi ‘bagaimana dan mengapa sistem
pencegahan gagal’ bagi memastikan persekitaran kerja (dan perjalanan ulang alik) lebih
terjamin.

Reka bentuk sistem yang kompleks (atau di dalam kes ini, sistem perkeretapian) boleh mempengaruhi keupayaan operator untuk mengoperasikan sistem di dalam keadaan selamat dan boleh dipercayai.

Tiga  domain yang luas berkaitan ergonomik harus diambil perhatian
secara holistik merangkumi:
• Ergonomik fizikal yang mengambil kira penyesuaian sifat – sifat fizikal tempat kerja
terhadap pekerja yang mengintegrasikan ilmu pelbagai disiplin termasuklah anatomi,
antropometri, biomekanik, fisiologi dan sebagainya.
• Ergonomik kognitif yang mementingkan keperluan tugasan berkaitan keupayaan mental
(beban), penyelesaian masalah, kemahiran dan latihan, interaksi manusia dan
komputer/mesin, dan sebagainya.
• Ergonomik organisasi yang memfokuskan pengoptimuman sistem sosioteknikal seperti
komunikasi, budaya organisasi, struktur organisasi, proses dan polisi, rekabentuk kerja
(peranan dan tanggungjawab), pengurusan sumber dan sebagainya.

Kesilapan dan kecuaian manusia hanya simptom, tetapi prestasi manusia dipengaruhi oleh
pelbagai faktor termasuk rekabentuk tempat kerja, panel kawalan dan susunatur papan
pemuka, prosedur kerja, persekitaran, kompetensi pekerja, tahap mental dan lain – lain faktor manusia yang sangat signifikan mempengaruhi tingkah laku manusia dan proses membuat keputusan selaras dengan sistem sedia ada yang semakin canggih.

Dengan menganalisa kemalangan ini berdasarkan perspektif faktor manusia dan ergonomik (HF/E), isu saling berkaitan yang lebih mendalam dari aspek organisasi, kognitif dan fizikal yang mendalam akan dapat diteliti. HFEM berharap pendekatan yang holistik dan mendalam akan digunapakai di dalam penyiasatan teknikal ini. Pakar dari HFEM bersedia untuk menawarkan khidmat professional dan bekerjasama untuk membantu di dalam penyiasatan.

Sebagai operator utama pengangkutan awam yang menjadi sandaran warga kota, tindakan pembetulan dan kajian berterusan berdasarkan hasil dapatan penyiasatan wajar
dilaksanakan. Hasil keputusan kajian sepatutnya menjadi tumpuan awam dan bukannya
salah-menyalahkan satu sama lain. Ini akan memberi jaminan kukuh kepada semua pihak
yang terlibat di dalam insiden ini termasuk ribuan pengguna yang bergantung kepada
perkhidmatan ini setiap hari.

Ergonomik (juga dikenali sebagai faktor manusia) adalah bidang saintifik yang mengkaji dan memahami interaksi manusia dengan persekitaran sistem kerja (fizikal, kognitif dan
organisasi), di mana pengamal profesion ini mengaplikasi kepelbagaian teori, prinsip, dan
maklumat sebagai pendekatan bagi mengoptimakan kesejahteraan dan prestasi keseluruhan sistem.

*Persatuan Faktor Manusia dan Ergonomik (HFEM) merupakan organisasi bukan kerajaan NGO) yang terdiri daripada ahli profesional faktor manusia dan ergonomik dari pelbagai latar belakang.

HFEM mempromosikan perkongsian, aplikasi dan penerapan pengetahuan
mengenai ciri-ciri manusia dalam reka bentuk produk, sistem, dan perkhidmatan.