Home Nasional Jakim nasihat jangan ragu-ragu ambil vaksin

Jakim nasihat jangan ragu-ragu ambil vaksin

Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan orang ramai agar tidak ragu-ragu untuk mengambil vaksin menerusi kempen besar-besaran yang dilakukan kerajaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pengambilan vaksin sama ada Pfizer, Sinovac mahupun AstraZeneca adalah untuk ketahanan diri dan menjaga nyawa rakyat daripada jangkitan wabak Covid-19.

“Jagalah nyawa kita. Ia sebagai usaha melindungi diri dan orang sekeliling daripada jangkitan pandemik Covid-19 yang boleh membawa maut,” katanya menerusi laman Facebook Jakim, hari ini.

Beliau berkata, vaksin itu disahkan selamat dan berkesan berdasarkan kajian pihak berautoriti yang diberi tanggungjawab melalui Kementerian Kesihatan (KKM).

Apatah lagi, katanya, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-10 yang dihadiri mufti-mufti negeri dan pakar dalam pelbagai bidang pada 3 Disember tahun lalu.

“Mereka sepakat memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Amat mengecewakan masih ramai rakyat gagal hadir menerima suntikan vaksin yang antaranya tidak menyatakan alasan berbuat demikian, sedangkan ia adalah usaha bagi mencegah penularan jangkitan melalui perlindungan kelompok,” katanya.

Abdul Aziz berkata, berdasarkan prinsip Maqasid Syariah, mengambil vaksin adalah salah satu usaha dalam menjaga nyawa yang merupakan suatu kewajipan, selain daripada menjaga agama, akal, keturunan dan harta. – MalaysiaGazette