Home Nasional PPV Jalan Genuang sesak, warga emas terpaksa beratur panjang

PPV Jalan Genuang sesak, warga emas terpaksa beratur panjang

PPV Dewan Serbaguna Jalan Genuang, Segamat, Johor.

SEGAMAT – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Jalan Genuang di sini sesak hingga menyebabkan orang awam terutamanya warga emas terpaksa beratur panjang di hadapan pintu pagar utama.

Kesesakan tersebut dipercayai berlaku sejak awal pagi tadi.

Difahamkan kumpulan warga emas yang menerima suntikan dos pertama mereka diminta untuk beratur mengikut waktu masing-masing sebelum dibenarkan masuk.

Namun mereka yang mempunyai temu janji pada pukul 9.30 pagi masih berada di luar pagar utama walaupun selepas satu jam menunggu.

Hanya penerima yang mempunyai temu janji dos kedua dibenarkan untuk terus masuk ke dewan.

Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dilihat memeriksa satu persatu temu janji di telefon bimbit orang awam sebelum dibenarkan masuk.

Namun sehingga pukul 12 tengah hari tadi keadaan di hadapan pintu pagar utama dewan masih dipenuhi warga emas yang beratur menunggu giliran masing-masing dalam keadaan panas terik.

Lebih menyedihkan apabila tiada khemah atau kerusi disediakan untuk warga emas menunggu di kawasan luar dewan.

Akibatnya, rata-rata mereka kelihatan letih kerana terpaksa menunggu sambil berdiri berjam-jam.

Malaysia Gazette difahamkan warga emas yang mempunyai temu janji di PPV berkenaan tidak dibenarkan menunggu di pekarangan dewan bagi mengelak berhimpun beramai-ramai bersama waris mereka.

Kumpulan warga emas tersebut dilepaskan seramai 10 orang dalam satu-satu masa untuk masuk ke dalam kawasan dewan setelah diperiksa temu janji mereka oleh anggota yang bertugas di hadapan. – MalaysiaGazette