Home Nasional Pengasuh dipenjara lima tahun dera bayi jagaannya

Pengasuh dipenjara lima tahun dera bayi jagaannya

Asmayuzi Ismail @ Abdul Wahab, 33, mengaku bersalah di hadapan Majistret Badrul Munir Mohd Hamdi setelah dituduh melakukan kesalahan terhadap bayi berusia tujuh bulan itu, pada pukul 7.30 pagi hingga 10.20 pagi di rumahnya di Kemaman pada 27 April 2016.
KEMAMAN – Seorang pengasuh dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menganiaya dan mencederakan bayi dalam jagaannya pada April 2016.

Asmayuzi Ismail @ Abdul Wahab, 33, mengaku bersalah di hadapan Majistret Badrul Munir Mohd Hamdi setelah dituduh melakukan kesalahan terhadap bayi berusia tujuh bulan itu, pada pukul 7.30 pagi hingga 10.20 pagi di rumahnya di Kemaman pada 27 April 2016.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Asmayuzi kemudian membuat rayuan kepada mahkamah bagi meringankan hukuman dengan alasan ketika kejadian dia mengalami tekanan perasaan akibat sering risaukan keadaan kesihatannya yang dijangkiti HIV daripada suaminya sejak dua tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi memutuskan tertuduh perlu menjalani hukuman itu sebagai pengajaran memandangkan kesan kecederaan teruk yang berlaku pada bayi berkenaan selepas didera.

“Menurut laporan perubatan oleh doktor yang merawat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang mangsa mengalami pelbagai komplikasi akibat penderaan yang dilakukan tertuduh.

“Mangsa juga didapati telah hilang keupayaan untuk mengalihkan tubuh badannya sendiri, tidak mampu fokus terhadap objek yang berada di hadapannya dan hingga kini masih menerima rawatan ekoran kecederaan yang dialaminya,” katanya.

Syazwani berkata ibu bayi itu juga masih dalam keadaan trauma dan mengalami tekanan emosi memikirkan masa depan anaknya yang berkemungkinan menghadapi kecacatan kekal akibat penderaan yang dilakukan oleh tertuduh.

“Ibu mangsa juga seakan ditipu oleh tertuduh kerana tidak diberitahu mengenai HIV yang dialaminya sedangkan tertuduh telah menghidap penyakit berbahaya itu sejak dua tahun lepas,” katanya.

Badrul Munir mengekalkan sabitan selepas berpuas hati dengan penerangan yang diberikan Syazwani.

— BERNAMA