SUBANG – Kemelut rumahtangga pelakon Serina Redzuawan sampai ke kemuncaknya apabila dia sah bercerai talak satu dengan suami, Gavin Edward O’luanaigh hari ini.
Gavin atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar, 40, melafazkan cerai di hadapan Hakim Syarie, Nurul Hidayah Jani di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini.
Pada prosiding sama, Gavin, 40, turut menarik balik permohonan nusyuz (kembali taat) terhadap Serina, 34, yang difailkan sebelum ini.
Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebelum ini memerintahkan hak penjagaan kekal kedua-dua kanak-kanak itu diberikan kepada Gavin secara persetujuan bersama dengan Serina dengan beberapa syarat dan terma lawatan yang dipersetujui bersama.
Serina dan Gavin berkahwin pada 1 Januari 2010.
Mereka dikurniakan sepasang anak, Tristan Tareef O’luanaigh, 6 dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 5 tahun. – MalaysiaGazette