KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu meningkatkan sokongan untuk operasi yang lebih cekap dalam industri penerbangan dan mendorong peralihan tenaga yang berkesan untuk memastikan industri itu boleh memberikan manfaat sosial dan ekonomi secara mampan.
Ulasan jangka panjang oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Tourism Economics bagi pemulihan permintaan penumpang pasca-COVID-19 yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan orang ramai mahu melakukan perjalanan dalam jangka pendek dan panjang.
Menerusi kenyataan, IATA menjelaskan bagi 2021, jumlah penumpang global dijangka pulih kepada 52 peratus daripada tahap sebelum COVID-19 melanda (2019); 88 peratus pada 2022, dan mengatasi tahap sebelum pandemik pada 2023 iaitu 105 peratus.
“Bagaimanapun kita perlu mampu memenuhi permintaan pengguna secara mampan. Bukan rahsia lagi ini adalah lebih mencabar bagi sektor penerbangan daripada sektor dengan alternatif tenaga yang lebih luas, namun dengan sokongan kerajaan kita berupaya merealisasikannya menerusi gabungan cara,” katanya.
Selain itu, IATA juga mengingatkan mengenai kemungkinan berlaku situasi kelam-kabut di lapangan terbang sekiranya kerajaan tidak bergerak pantas untuk menerima guna proses digital bagi menguruskan bukti kelayakan kesihatan perjalanan, seperti saringan COVID-19 dan sijil vaksin, selain langkah-langkah lain berkaitan COVID-19.
“Tanpa penyelesaian automatik untuk pemeriksaan COVID-19, kita akan menyaksikan potensi gangguan lapangan terbang yang ketara berlaku,” katanya.
IATA menjelaskan purata pemprosesan penumpang dan tempoh menunggu meningkat dua kali ganda daripada keadaan sebelum krisis pada waktu puncak — mencecah tiga jam, tempoh yang tidak boleh diterima.
Walsh berkata tiada mana-mana orang yang akan bertolak ansur bagi tempoh menunggu yang panjang ketika mendaftar masuk atau untuk formaliti di sempadan.
“Kita mesti mengautomasikan pemeriksaan bagi vaksin dan sijil saringan sebelum trafik meningkat ketara,” katanya.
Sekiranya kerajaan memerlukan bukti kelayakan kesihatan COVID-19 untuk perjalanan justeru, langkah menggabungkannya ke dalam proses yang sudah automatik adalah penyelesaian bagi permulaan semula yang lancar.
Ini memerlukan sijil digital diiktiraf, diseragamkan, dan boleh kendali secara global untuk sijil vaksin dan saringan COVID-19, katanya.
Menurut IATA sijil digital mempunyai beberapa kelebihan, termasuk mengelakkan dokumentasi palsu, membolehkan pemeriksaan ‘sedia untuk terbang’ oleh kerajaan serta mengurangkan tempoh beratur, kesesakan dan tempoh menunggu di lapangan terbang melalui penyepaduan dengan daftar masuk layan diri. – MalaysiaGazette