KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selesai diambil keterangan dan dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira jam 5.45 petang ini.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu bagaimanapun enggan bertembung dengan wakil media dan cuba mengelak daripada disoal wartawan beredar senyap-senyap mengikut pintu belakang bangunan balai polis tersebut.
Terdahulu Tajuddin kelihatan menaiki kereta jenis Mercedes berwarna perak memasuki pekarangan IPD Dang Wangi kira-kira jam 4.45 petang tadi.
Beliau yang berpakaian kemeja lengan panjang berwarna coklat serta memakai topi memasuki lobi IPD Dang Wangi dengan diiringi pembantu peribadinya.
Rakaman percakapan itu bagi membantu siasatan polis berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka dalam sidang media berkaitan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT), Selasa lalu.
Turut dipanggil untuk dirakam percakapan ialah Pengurus Kanan (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Prasarana, Azhar Ghazali yang selesai memberi keterangan hampir sejam dan beredar dari pejabat polis itu kira-kira jam 4.30 petang tadi.
Rabu lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, mengesahkan Tajuddin serta beberapa individu lain daripada pihak Prasarana untuk membantu siasatan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1) Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021.
Pihak polis juga telah membuka kertas siasat mengikut Akta 342 dan rakaman percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.
Ia dilakukan bagi menentukan tindakan seterusnya, sama ada dikenakan kompaun atau dituduh di mahkamah. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Tajuddin datang IPD Dang Wangi, bantu siasatan dakwaan langgar SOP