Home Sukan Liga Super: Nick Swirad sertai Sri Pahang

Liga Super: Nick Swirad sertai Sri Pahang

Foto Instagram Nick Swirad.

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan negara, Nick Swirad dilaporkan bakal kembali beraksi dalam saingan Liga Super musim ini apabila semakin hampir untuk menyertai Sri Pahang.

Swirad terpaksa meninggalkan kelab Thai League 1, Nongbua Pitchaya gara-gara peraturan liga yang tidak membenarkan dia untuk beraksi.

Menurutnya, dia terpaksa meninggalkan Nongbua kerana tidak mempunyai penampilan bersama skuad kebangsaan yang cukup untuk beraksi dalam saingan divisyen pertama.

Pemain luar negara yang beraksi di Thailand difahamkan perlu mempunyai penampilan bersama skuad kebangsaan sebanyak tiga kali bagi membolehkan mereka untuk beraksi dalam saingan Thai League 1.

Ketika beraksi bersama Nongbua, Nick membantu kelab itu muncul juara saingan Thai League 2 musim 2020/2021 sekaligus mendapat tempat dalam saingan divisyen utama musim hadapan.

Setakat ini, Sri Pahang telah melakukan rombakan besar-besaran daripada segi pemain yang mana mereka telah membawa masuk empat pemain import baharu iaitu Aung Kaung Mann (Myanmar), Manuel Hildago (Argentina), Abubakar Yakubu (Ghana) dan Kenny Anthiu (Australia).

Sekiranya menyertai Sri Pahang, besar kemungkinan Nick akan digandingkan dengan ketua pasukan, Herold Goulon di benteng pertahanan. – MalaysiaGazette