KUALA LUMPUR – Negara sedang berhadapan dengan krisis meruncing dan kerajaan perlu segera bertindak balas menangani peningkatan kes harian Covid-19.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pelaksanaan darurat tidak menampakkan tanda-tanda bahawa keadaan akan pulih dalam masa terdekat.
“Malangnya, Parlimen yang sepatutnya menjadi medium perbahasan dan kerjasama bipartisan boleh pula disekat daripada bersidang. Ini adalah satu keputusan dan perkara yang bukan sahaja mencemarkan amalan demokrasi. Tetapi meletakkan seluruh negara dalam keadaan berisiko.
“Masa depan, keselamatan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan dan ditutup dengan kenyataan muluk-muluk yang dibuat-buat.
“Kerajaan mesti berhenti berhadapan dengan sebarang krisis dengan cara yang boleh meminggirkan amalan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau merujuk kepada kenyataan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang sekali lagi mendesak agar sidang Parlimen dapat bersidang dengan kadar segera.
Azalina berkata, beliau merasa kecewa dengan sikap kerajaan yang masih lagi ‘membisu’ terhadap cadangan itu sebelum ini.
Malah Azalina berkata, banyak persoalan dan kebimbangan yang dikemukakan ahli Parlimen di ‘luar tembok’ Dewan Rakyat tidak dapat dijawab dan ia disifatkan boleh melumpuhkan demokrasi.
Bagi Khaled, gesaan Ahli Parlimen Pengerang itu berasas kepada keperluan mendesak dan ia boleh dilakukan dengan selamat dalam norma baharu.
“Yang menariknya, saranan tersebut sehingga ke tahap mencadangkan satu peletakan syarat bahawa usul berkenaan sokongan ke atas Perdana Menteri tidak akan dibawa dan dibahaskan sekiranya perkara tersebutlah yang menjadi kerisauan kerajaan.
“Saya tidak pernah melihat satu keadaan yang lebih terdesak dan kritikal berbanding sekarang. Saya bersetuju dan menyokong pandangan serta saranan yang beliau telah kemukakan,” katanya lagi.
Untuk rekod, pada 12 Januari lalu sidang Parlimen ditangguhkan ekoran pelaksanaan darurat diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Susulan itu, sidang Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan sepanjang perintah darurat berkuat kuasa.
Begitupun pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa. – MalaysiaGazette