KUALA LUMPUR – Langkah menyatukan proses tempahan temu janji menerima suntikan vaksin Covid-19 ternyata menerima reaksi positif dalam kalangan rakyat.
Rata-rata yang mereka ditemui MalaysiaGazette hari ini berkata, mengurus proses pemberian vaksin menerusi MySejahtera adalah langkah yang terbaik kerana ia memudahkan rakyat.
Pemilik Firma Guaman, Datuk Mohd Azwan Mohd Roslee, 36 berkata pengalamannya menempah temu janji untuk menerima vaksin AstraZeneca baru-baru ini amat mencabar apabila berlaku gangguan teknikal.
“Saya sendiri, masa hari dia buka untuk tempahan baru-baru ini memang banyak kali saya cuba, memang banyak gangguan esoknya saya cuba semak di MySejahtera saya berjaya walaupun dalam sistem tidak beritahu saya berjaya sebaliknya saya diberitahu slot tempahan telah penuh.
“Saya cuba lima hingga enam kali juga pada masa itu,” katanya.
Namun beliau bersyukur kerana tempahannya berjaya apabila mendapat info terbaharu menerusi aplikasi MySejahtera.
Dalam pada itu, Mohd Azwan tidak menafikan pemberian AstraZeneca dibuat berasingan kerana kerajaan mahu mengubah persepsi rakyat terhadap vaksin tersebut.
Kini ujarnya, strategi kerajaan dilihat berjaya mengubah cara rakyat berfikir sekaligus meningkatkan keyakinan terhadap vaksin itu.
“Memang sepatutnya tempahan slot untuk AstraZeneca dibuat dalam satu platform dengan yang lain tapi saya faham kerajaan nak ubah pemikiran rakyat yang banyak dengar berita tidak baik tentang AstraZeneca.
“Kerajaan sebenarnya telah berjaya mengubah pemikiran rakyat apabila mengasingkan tempahan untuk menerima vaksin AstraZeneca. Hasilnya, kini rakyat semakin menerima vaksin berkenaan dan tidak lagi mempunyai persepsi negatif.
Namun Mohd Azwan, kelemahan laman web tempahan slot vaksin itu tidak dapat dinafikan sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat.
Justeru katanya, MySejahtera perlu ditambah baik dengan segera agar dapat memudahkan rakyat membuat tempahan slot vaksin masing-masing.
Semalam, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin memaklumkan kerajaan memutuskan untuk memasukkan pemberian AstraZeneca dalam senarai vaksin arus perdana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) selepas melihat sambutan baik dalam kalangan masyarakat.
Justeru, tempahan vaksin AstraZeneca selepas ini tidak lagi perlu dibuat menerusi laman web berasingan sebaliknya melalui aplikasi MySejahtera.
Pertimbangan itu katanya, dibuat selepas mendapati rakyat semakin menerima baik vaksin AstraZeneca yang sebelum ini diragui keberkesanannya.
Baru-baru ini, proses untuk tempahan vaksin berkenaan yang dibuat melalui laman web yang berasingan dikritik hebat apabila berhadapan kesulitan untuk memproses permintaan tinggi pada tempahan slot pusingan kedua.
Sementara itu seorang pekerja swasta Lim Mei Ken, 41 berpendirian, apa yang mustahak pada masa ini kerjaan perlu memastikan proses pemberian vaksin dapat dilaksanakan dengan segera dan lancar.
“Sekiranya dimasukkan semua jenis vaksin dalam pemilihan lebih baik. Supaya rakyat ada pilihan dan lebih cepat dapat tapi sistem itu penting, sebab ia buat rakyat sukar percaya.
“Kalau boleh satu cara sudah cukup, yang penting semua rakyat boleh dapat vaksin dengan cepat lebih. Lagi banyak cara rakyat lagi keliru,” katanya.
Seorang Perunding Hartanah Alif Ilias, 36, juga menyambut baik usaha menyatukan proses tempahan slot vaksin Covid-19 menerusi satu aplikasi sahaja.
Jelas beliau, MySejahtera merupakan sistem yang terbaik dan sepatutnya digunakan untuk melaksanakn proses tempahan temu janji pemberian vaksin, kerana aplikasi itu digunakan oleh rakyat negara ini semenjak pandemik melanda.
“Kalau sebelum ini mungkin pengalaman pertama kita untuk urus kes Covid-19 ini jadi banyak persediaan yang belum kerajaan belum lakukan.
“Selepas ini kalau disatukan MySejahtera sangat baguslah sebab semua orang sekarang ini pun sudah guna MySejahtera kebanyakannya semua tempat kita guna aplikasi ini,” menurutnya.
Walaubagaimanapun, Alif berpendirian kerajaan sehingga kini dilihat berjaya mengawal pengurusan Covid-19 dalam negara meskipun berhadapan dengan cabaran.
“Setakat ini pengurusan Covid-19 oleh kerajaan bagus, sudah lebih terperinci kerajaan pun sudah belajar mengurus sejak 2020 lagi kan,” ujarnya. – MalaysiaGazette