GEORGE TOWN – Tiada unsur jenayah berhubung kematian seorang bayi lelaki di sebuah taska di Bukit Gedung, di sini, semalam.
Pengesahan itu dibuat Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA. Anbalagan selepas proses bedah siasat ke atas bayi berusia enam bulan itu dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang hari ini.
Difahamkan, mangsa, Muhammad Nur Fatih meninggal dunia akibat pendarahan lama di kepalanya.
Kata beliau, pihaknya menerima laporan berhubung kematian mangsa daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bayan Baru pada jam 10.43 pagi semalam.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dihantar oleh ibu bapanya ke pusat jagaan tersebut pada jam 6.30 pagi dalam keadaan sihat.
“Susulan itu, seorang wanita berusia 20 tahun yang juga pekerja pusat jagaan itu mengambil bayi berkenaan dalam keadaan baik.
“Bayi itu dikatakan menangis seperti hari-hari biasa sebelum dia dan pengasuhnya itu tertidur,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Anbalagan, wanita itu kemudian tersedar daripada tidur sebelum meninggalkan bayi berkenaan untuk ke tandas pada jam 8 pagi.
Jelasnya, selepas 30 minit wanita itu mendapati mangsa tidak sedarkan diri selain kelihatan pucat.
“Proses bantuan pernafasan (CPR) cuba dibuat sebelum dibawa ke klinik kesihatan oleh pengusaha taska, namun dia disahkan meninggal dunia.
“Hasil proses bedah siasat selama empat jam bermula jam 9 pagi itu mendapati tiada unsur jenayah atau kesan kecederaan baru pada mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita minta tiada sebarang spekulasi dibuat berhubung kes tersebut,” ujar Anbalagan.
Sementara itu, ibu mangsa, Suraya Mohd Taib, 24, berkata, kehilangan anak sulung itu merupakan satu dugaan berat buat dia dan suami namun mereka reda dengan ketentuan Allah.
Mengulas lanjut, Suraya berkata, dia menerima panggilan daripada taska pada jam 9.15 pagi memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri dan dibawa ke klinik untuk rawatan lanjut.
“Saya dan suami yang sedang bekerja di sebuah kilang terus bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan itu sebelum kami dikejutkan dengan berita kematian.
“Saya tak nak salahkan sesiapa atau besarkan hal ini, bagi kami Allah pinjamkan dia sementara saja dan kami terima seadanya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Suraya, jenazah anaknya itu dibawa pulang ke kampung halaman di Pengkalan Hulu, Perak untuk dikebumikan. – MalaysiaGazette