KUALA LUMPUR – Siasatan awal Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) mendapati beberapa slot vaksin AstraZeneca telah ditempah bagi pihak orang lain dalam jumlah yang ramai.
Tempahan tersebut dibuat tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan individu terbabit khususnya untuk menerima vaksin AstraZeneca.
Pihak CITF dalam kenyataannya juga mendapati tempahan dalam jumlah yang ramai itu telah dilakukan menerusi beberapa alamat IP yang sama.
Katanya, siasatan dibuat berikutan aduan sebilangan individu yang telah diberikan janji temu bagi vaksin AstraZeneca walaupun tidak pernah membuat tempahan ketika slot dibuka tempoh hari.
Antara aduan yang diterima termasuklah janji temu yang diberikan sebelum ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan AstraZeneca telah digantikan dengan janji temu vaksin AstraZeneca.
Katanya, CITF telah menghubungi salah satu pihak yang membuat tempahan slot dalam jumlah yang ramai iaitu pihak SELangkah.
SElangkah, katanya, memaklumkan mereka membuat tempahan bagi slot AstraZeneca tanpa terlebih dahulu membuat semakan sama ada individu dalam pangkalan data ImuniSEL setuju untuk menerima vaksin AstraZeneca.
Pihak berkenaan kemudian menggantikan janji temu yang telah diberi sebelum ini, sekiranya ada.
Katanya, SELangkah telah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan CITF bagi menyelesaikan isu berbangkit ini dan memastikan bahawa individu yang terbabit akan mendapatkan balik janji temu yang sebelumnya.
Kesulitan yang timbul itu akan diatasi sebaik mungkin dan CITF akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai individu menerima vaksin dan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai. – MalaysiaGazette