KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melakukan pelbagai apa sahaja inisiatif untuk mengekang penularan Covid-19 di Selangor.
Antaranya melakukan sanitasi awam menerusi Ops Covid-19 oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang telah melakukan 36,334 operasi setakat 28 Mei lalu.
Menurut Menterinya, Datuk Dr Zuraida Kamaruddin, kementerian beliau fokus kepada Selangor dan akan melakukan proses sanitasi selama dua hari secara besar-besaran di negeri itu kerana mencatatkan kes positif harian Covid-19 tertinggi sejak kebelakangan ini.
Kata Zuraida, sebanyak tujuh lokaliti telah dikenalpasti dengan kawasan seluas 57 ekar (23 hektar) akan disanitasi, termasuk 41 buah bangunan dalam tempoh dua hari.
“Kita all out lebih-lebih lagi di Selangor, KPKT bersama-sama JBPM akan lakukan proses sanitasi ini secara besar-besaran, di Selangor kita sanitasi 9 daerah kesemuanya. Kes di Selangor sememangnya sangat tinggi.
“Kita sangat berharap inisiatif ini sebenarnya sedikit sebanyak akan membantu mengurangkan, mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.
“Hari ini saya turun ke Desa 288, Ampang ini kerana ada 15 kes dilaporkan, kita juga akan teruskan di kawasan-kawasan lain juga pada hari sama dan juga esok, antara fokus termasuklah kawasan-kawasan perumahan, awam serta pasar dan tempat-tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat melawat pangsapuri Desa 288 dan pangsapuri Ampang Saujana.
Dalam pada itu, kata Zuraida, usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan pihak berwajib tidak akan berjaya 100 peratus tanpa kerjasama masyarakat setempat dalam melawan pandemik ini.
“Rakyat perlu ambil usaha ini sebagai Indikasi serius penularan covid-19 ketika ini, anda juga perlu lebih berhati-hati amalkan SOP kendiri, kerajaan boleh buat tetapi tidak lakukan 100 peratus tanpa kerjasama rakyat juga.
“Masyarakat juga pada masa sama perlu ada peribadi matang untuk memastikan sama-sama lawan Covid supaya Malaysia kembali maju dan progresif, tolonglah jaga diri,” ujarnya.
Seramai 50 anggota bomba telah dikerahkan bagi OPS Sanitasi ini di seluruh negeri Selangor selama dua hari ini dengan menggunakan 15 buah jentera dan kenderaan utiliti selain 30 buah peralatan sanitasi ketika ini.
Dalam pada itu, antara tempoh Mac 2020 sehingga 28 Mei ini, seramai 2,702 anggota bomba telah telah menjalani saringan Covid-19 dengan 16 daripadanya didapati positif manakala 96 pula bawah kategori (PUI) dan 89 pegawai pula dikategorikan (PUS). -MalaysiaGazette