KUALA LUMPUR – Semua pembayaran tertunggak 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada IPIC akan dibuat pada bulan Ogos.
Pembayaran itu akan menggunakan hasil pelan rasionalisasi syarikat tersebut.
1MDB dalam kenyataannya berkata, syarikat itu sedang menunggu dana yang akan diterima pada bulan Julai 2017.
Oleh kerana itu, keperluan untuk kelulusan pengawalseliaan tambahan, penerimaan dana tersebut telah ditunda hingga Ogos 2017.
“Memandangkan dana-dana ini akan digunakan untuk membayar IPIC, 1MDB telah menulis kepada IPIC bagi memaklumkan tentang komitmen kami untuk memenuhi obligasi, yang asalnya pada 31 Julai 2017 kepada bulan Ogos 2017,” kata 1MDB.
1MDB yang sepatutnya melunaskan pembayaran abritrasi kepada International Petroleum Investment Co. (IPIC) sebanyak AS$602.75 juta (RM2.58 bilion) dilaporkan belum melunaskannya sehingga saat akhir jam 12 tengahari tadi.
Pembayaran tersebut sepatutnya berakhir pada jam 12 tengah malam 31 Julai mengikut waktu New York.
Bagaimanapun, tiada alasan sebenar dinyatakan oleh kerajaan Malaysia yang memiliki 1MDB berhubung kelewatan pembayaran tersebut dan dalam masa yang sama, tidak tahu sama ada terdapat sebarang klausa yang membenarkan lanjutan tempoh pembayaran.
Bayaran sebanyak AS$602.75 juta ini merupakan bayaran pertama kepada IPIC dan baki sebanyak AS$602.75 juta lagi dijadualkan berakhir hujung tahun ini. – MalaysiaGazette