SINGAPURA – Singapura dan Malaysia akan terus bekerjasama erat untuk memastikan aliran barangan dan bekalan melibatkan kedua-dua negara itu akan berterusan sepanjang fasa pertama sekatan pergerakan penuh mulai 1 Jun hingga 14 Jun ini.
Menteri Perdagangan dan Industri republik itu, Gan Kim Yong berkata, kedua-dua negara telah bekerjasama rapat sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada tahun lepas.
“Kami akan terus berbuat demikian berikutan pengumuman terkini Malaysia untuk melaksanakan langkah lebih ketat bagi mengawal pandemik di negara itu,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasmi kementerian itu hari ini.
Malaysia akan melaksanakan fasa pertama sekatan pergerakan penuh bagi membendung penularan COVID-19.
Kes baharu COVID-19 di Malaysia berjumlah 9,020 hari ini, angka tertinggi yang dicatatkan sejak pandemik itu dikesan pada Januari tahun lepas. – Bernama