Home Nasional Pengiktirafan Audit Negara bukti Sabah dipimpin ketua menteri terbaik

Pengiktirafan Audit Negara bukti Sabah dipimpin ketua menteri terbaik

Presiden Gerakan Akar Umbi UMNO (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar
KUALA LUMPUR – Gerakan Akar Umni UMNO (GAUM) menyambut baik pengiktirafan Jabatan Audit Negara kepada Sabah kerana pengurusan kewangan sangat baik di Malaysia yang dibentangkan di Parlimen, Isnin lalu.
Presidennya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pengiktirafan itu menunjukkan Sabah telah ditadbir oleh seorang Ketua Menteri yang terbaik di Malaysia.
“Datuk Seri Musa Aman yang juga merangkap Menteri Kewangan Sabah telah menunjukkan prestasi pentadbiran yang amat membanggakan.
“Sebelum ini, Sabah telah diiktiraf sebagai negeri yang mempunyai keupayaan kewangan bertaraf Triple-A yang diiktiraf selama tujuh tahun berturut-turut dan anugerah ‘Sijil Tanpa Teguran’ selama 15 tahun berturut-turut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkarnain berkata, menurut laporan Jabatan Audit Negara, prestasi pengurusan kewangan adalah berdasarkan Indeks Akauntabiliti di 31 kementerian, jabatan dan agensi negeri Sabah pada keseluruhannya adalah ‘Sangat Baik’.
“Laporan itu turut menyebut, daripada 31 kementerian, jabatan dan agensi negeri Sabah yang diaudit, 22 mendapat penarafan Cemerlang, enam jabatan atau agensi berada pada tahap Baik manakala tiga jabatan dan agensi diberi penarafan Memuaskan.
“Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah berjaya mengekalkan tahap pengurusan kewangan cemerlang dengan mendapat penarafan lima bintang,” ulasnya.
Katanya lagi, sepanjang 14 tahun Musa memimpin Sabah, rekod pentadbiran beliau dilihat cukup cemerlang.
“Sebelum mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sabah daripada Tan Sri Chong Kah Kiat pada 2003, rezab kewangan Sabah waktu itu hanya RM180 juta.
“Namun selepas selepas Musa menjadi Ketua Menteri Sabah, rezab kewangan Sabah kini berjumlah RM3.2 Billion,” katanya. – MalaysiaGazette