Friday, November 15, 2024
Home Nasional Jemaah haji sudah suntik Sinovac, kerajaan bincang dengan Arab Saudi – KJ

Jemaah haji sudah suntik Sinovac, kerajaan bincang dengan Arab Saudi – KJ

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin melihat para petugas melakukan persiapan ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin MITEC yang akan mula beroperasi pada 31 Mei di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan berbincang dengan Arab Saudi bagi memohon kelonggaran agar bakal jemaah Malaysia yang sudah menerima vaksin jenis Sinovac dibenarkan menunaikan rukun Islam kelima itu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana negara itu sebelum ini telah menetapkan hanya jemaah yang menerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca dibenarkan menunaikan haji.

“Kalau mereka (bakal jemaah haji) sudah disuntik dengan Sinovac, kita akan bincang dengan kerajaan Arab Saudi supaya diberi kelonggaran kepada mereka.

“Untuk jemaah haji yang belum divaksinasi atau melalui Tabung Haji, kita bagi suntikan Pfizer tetapi ada sebelum ini ada yang terlepas mendaftar sendiri dan diberi Sinovac.

“Saya difahamkan ia hanya membabitkan jumlah yang kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

MITEC menjadi PPV mega yang akan beroperasi esok dengan sasaran dapat meningkatkan lagi keupayaan pemberian vaksin kepada 6,000 orang sehari.

Khairy sebelum itu telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dan antara lain turut bersetuju untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Selangor menerusi perkongsian maklumat dan usaha untuk meningkatkan kadar suntikan vaksin. – MalaysiaGazette