Home Seni Hidup Haqiem Rusli kahwin akhir tahun ini

Haqiem Rusli kahwin akhir tahun ini

Haqiem Rusli merupakan Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 yang lalu.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Haqiem Rusli mengejutkan peminatnya apabila mengumumkan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihan akhir tahun ini.

Haqiem atau nama lengkapnya, Ridzuan Haqiem Rusli, 23, mendedahkan berita gembira itu menerusi sesi siaran langsung dalam Instagram sekitar pukul 2 pagi tadi.

Jelas penyanyi lagu Mimpi itu, dia tidak berniat menyembunyikan perkara baik daripada pengetahuan peminat dan ahli kelab peminatnya, Qiemilio.

“Saya tidak tahu bagaimana mendapat kekuatan mahu berkongsi soal mendirikan masjid ini. Tetapi, saya percaya perkara baik tidak boleh disembunyikan.

“Cuma, masih belum ada tarikh tepat mengenai tarikh yang bakal berlangsung tapi hujung tahun ini. Saya pun sudah menghadiri kursus kahwin tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Haqiem terkejut hampir 100 peratus kelompok peminat merestui keputusan dibuatnya pada usia muda.

Ditebak pertanyaan siapakah bakal isterinya nanti, Haqiem enggan enggan berkongsi lanjut.

“Tentang siapa calon bakal isteri, biarlah saya umumkan identitinya ketika majlis perkahwinan nanti. Saya hanya ingin peminat tahu yang saya akan berkahwin tidak lama lagi. Selebihnya, saya akan kongsi kelak,” katanya.

Sebelum ini, Haqiem pernah mendedahkan hubungannya dengan model kelahiran Australia berusia 16 tahun yang hanya diperkenalkan sebagai R. – MalaysiaGazette