Home Nasional PKP Penuh: Kedai gunting, PJJ tak dibenarkan

PKP Penuh: Kedai gunting, PJJ tak dibenarkan

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob interstate travel ban Hari Raya Aidilfitri balik kampung Covid-19
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Hanya dua wakil keluarga dibenarkan keluar rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu diberikan untuk mereka keluar rumah adalah untuk membeli keperluan asas dan kesihatan sahaja dengan pergerakan tidak melebihi radius 10 kilometer (km) dari kediaman.

Jelas beliau, hanya dua orang pula termasuk pemandu dibenarkan dalam kenderaan persendirian bagi mendapatkan barang keperluan harian.

Bilangan penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua orang sahaja termasuk pemandu dan penumpang disyaratkan untuk duduk kerusi penumpang bahagian belakang.

“Mulai 1 Jun ini, surat kebenaran bekerja, merentas daerah hanya dikeluarkan oleh kementerian yang berkaitan manakala aktiviti riadah secara bersendirian dibenarkan hanya untuk joging dan senaman tanpa sentuhan dengan had masa hingga 8 malam.

“Kompleks beli-belah ditutup kecuali premis pasar raya jualan makanan dan keperluan asas manakala raya, pasar raya besar, farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, mini mart dibenarkan beroperasi.

“Pada masa sama, kedai gunting rambut turut tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP Penuh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham yang disiarkan secara langsung di sini hari ini.

Ismail Sabri menambah, kerajaan tuurt memutuskan untuk tidak membenarkan aktiviti rentas daerah dan rentas negeri membabitkan pasangan jarak jauh (PJJ) sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama selama dua minggu bermula Selasa ini.

Beliau berkata, pasangan PJJ terpaksa ‘berkorban’ buat sementara sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh dilaksanakan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik.

Beliau berkata, untuk aktiviti rentas negeri dan daerah oleh pihak yang mendapat surat kebenaran bekerja dan sebagainya, surat kebenaran diberikan sebelum ini tidak terpakai bermula Selasa ini.

“Kebenaran akan ditamatkan pada esok dan kementerian akan mengeluarkan surat baharu berkaitan bekerja.

“Bagaimanapun, kita membenarkan rentas negeri membabitkan kes berkaitan kes kecemasan seperti kematian, keluarga sakit, nazak dan sebagainya dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Katanya, ada dua sumber sahaja yang boleh mengeluarkan surat kebenaran rentas negeri dan daerah iaitu kementerian yang berkaitan dengan bidang kerja serta pihak PDRM. – MalaysiaGazette