SUKAR sangat untuk kita mendapat berita-berita yang baik tentang negara kita pada hari ini. Dalam pada kita sibuk berdoa qunut nazilah untuk Palestin, kita di Malaysia pun parah juga. Banyak berita yang dibaca tentang Malaysia boleh sahaja menjadikan dada kita sesak dan sebak. Kadar covid yang tinggi, tragedi kemalangan besar, ekonomi yang terperangkap dan pertelingkahan politik yang berpanjangan. Mungkin satu-satunya berita yang “positif” tentang negara kita kini adalah ramainya didapati positif akibat terjangkit Covid 19.
Sisi Pandang Peniaga Kecil
Pukulan pandemik Covid 19 kali ini bukannya kecil ibarat air bah yang menyapu bersih sebuah perkampungan. Apakan tidaknya, Tambak Johor yang sejak dari lahir saya tidak pernah lekang dari kesibukan dan kebisingan enjin kenderaan kini menjadi begitu sunyi yang kesunyian itu tidak pernah terbayang dek akal fikiran kita yang waras selama ini. Namun bak dialog dari filem Seniman Agung P.Ramlee, ini bukan cubaan ini betul-betul. Betul-betul bukan cubaan kerana seorang sahabat yang dahulunya biasa menerima gaji dalam angka berpuluh ribu sebagai juruterbang kini hanya mempunyai pendapatan sekitar Ringgit Malaysia Satu Ribu hasil dari membawa motor bagi khidmat penghantaran makanan.
Maknanya dari sisi pandang pekerja swasta atau pekerja sendiri, pandemik ini adalah soal antara hidup dan mati antara adanya makan minum atau tidak dirumah untuk anak isteri, soal boleh tidak kereta dan rumah dibayar dan soal bagaimana anak yang ramai ingin memulakan persekolahan secara dalam talian sedangkan hanya ada 1 telefon yang usang yang boleh digunakan. Ada pula anak-anak yang tidak mampu belajar secara dalam talian terpinggir dari arus perdana pendidikan dan hanya masa yang akan menentukan samada mereka ini boleh bangkit semula atau pun tidak.
Sisi Pandang Majikan dan Pemilik Perniagaan
Dari sisi majikan dan pemilik perniagaan pula, banyak syarikat besar dan pengusaha industri kecil dan sederhana yang terkesan akibat pandemik ini. Apabila Perintah Kawalan Pergerakan pertama dilaksanakan di negara kita pada 18hb Mac 2020 dahulu pun memang banyak syarikat yang berstatus majikan ini cuba bertahan sungguh pun banyak juga yang terpaksa menutup kedai akibat tidak mampu bertahan menanggung kos operasi yang bukannya kecil.
Dengan Perintah Kawalan Pergerakan Ketiga hari ini tentunya lebih banyak kluster majikan ini yang akan mengangkat bendera putih dan terpaksa menggulung tikar perniagaan mereka. Dahulu, sedikit bantuan kerajaan kepada majikan dalam bentuk Subsidi Upah 3.0 tentunya sedikit membantu bagi memastikan majikan-majikan di negara kita terus mempunyai daya tahan untuk mengekalkan perniagaan mereka kerana jika makin banyak perusahaan yang ditutup maka makin ramailah para pekerja kita akan terpaksa mengikat perut dan menyukat perbelanjaan harian mereka kerana pada waktu ini bukanlah mudah untuk mereka mencari peluang kerja yang baharu.
Ada juga kebenaran luahan kata-kata seorang peniaga kuih muih dihadapan pejabat saya yang mengatakan bahawa jika pun dia tidak mati kerana virus Covid 19 di luar rumah, dia akan mati juga kerana tiada makanan yang boleh dimakan olehnya dan keluarganya di dalam rumah. Nampak tragis sangat ayat ini tapi begitulah luahan sebenar sebahagian warga kita.
Demikanlah dari sisi pandang seorang majikan dan pemilik perniagaan, pandemik ini adalah perihal bagaimana untuk meneruskan operasi syarikat, soal bagaimana untuk membayar gaji dan upah pekerja dan soal bagaimana segala bil-bil operasi dan hutang syarikat boleh dibayar sebelum notis peringatan dari peguam bank mula menjenguk tiba dan akhirnya syarikat terpaksa digulung.
Sisi Pandang Ahli Politik
Sementara rakyat terbanyak dan para peniaga hidup dalam fasa kebimbangan dan keresahan untuk mandiri kehidupan seharian, ahli-ahli politik di negara kita berlainan pula. Perbezaan pendapat dalam kalangan politikus melahirkan aliran mazhab-mazhab politik baharu yang bukan hanya dari parti politik yang berbeza-beza namun virus pertelingkahan juga mewujudkan pelbagai kluster baharu dalam satu kabilah yang sama. Lucunya, semua sosok politikus ini menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa diri mereka adalah doktor politik terbaik untuk merawati bumi bertuah ini dan mempunyai vaksin paling mujarab untuk mengubati kemelut politik negara kita.
Tentunya ada ahli politik yang ikhlas dalam perjuangannya tetapi tindak tanduk sebahagian ahli politik ini seolah-olah tidak kenal belas ihsan terhadap masa depan negara dan tiada peduli langsung terhadap ratapan sengsara rakyat kita kerana bagi mereka semua itu tidak lagi penting kerana yang maha utama adalah untuk menggapai kuasa kerana dengan cengkaman kuasa kelak akan datanglah penghormatan dari umat manusia, adanya projek-projek untuk difaraidkan dan lantas boleh mengaut kekayaan segera untuk diri.
Justeru, dari sisi pandang sebahagian sang politikus yang kelihatannya, samada pandemik atau tidak, kuasa pemerintahan adalah matlamat utama mereka. Saya terkejut apabila Kementerian Kewangan menamatkan seorang ahli parlimen dari jawatan Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan akibat caranya yang amat jelas cuai dalam mengendalikan sidang akhbar dan tragedi kemalangan, ada pula pemimpin politik dari parti yang sama menjadi batu api untuk meminta bekas pengerusi tadi menarik balik sokongan kepada kerajaan sedangkan kesilapan bekas pengerusi tadi bukanlah kecil dan beliau dikecam hampir setiap pelusuk negara.
Sisi Pandang Penghijrah
Dalam saya meneliti kesukaran dan kesengsaraan rakyat pada masa pandemik ini, jangan lupa ada juga yang bijak mengambil peluang untuk menmbahkan aset mereka. Saya didatangi oleh beberapa orang klien yang ingin membeli beberapa bidang tanah yang mereka ini semua berasal dari negara Kemboja. Mereka ini pada beberapa tahun terdahulu hadir ke pejabat saya sekadar untuk menyewa tanah tetapi kini mereka kembali bertemu saya untuk membeli pula tanah tersebut hasil dari usaha gigih mereka berniaga pakaian dibeberapa lokasi di negeri Johor. Tuan tanah tadi kini menyewa pul a sebahagian kecil tanah itu dari orang Kemboja tersebut.
Saya tanya mereka bagaimana mereka boleh membeli tanah dalam zaman pandemik ini. Mereka katakan bahawa mereka menabung hasil jualan pakaian mereka sejak mula berhijrah ke Malaysia dan setiap kali mereka mempunyai ruang untuk membeli aset yang berlokasi menarik maka mereka akan secara berjemaah bersama-sama membeli tanah. Pesan mereka kepada saya, inilah masa untuk membeli tanah pada harga yang murah kerana lebih ramai yang nak menjual tanah dizaman sukar dari yang hendak membelinya. Kelihatannya dari sudut pandang warga penghijrah ini, pandemik ini adalah peluang terbaik untuk mereka menekan pemilik tanah untuk menjualkan tanah mereka pada nilaian harga dibawah pasaran.
Serius, seperti ada yang tak kena dengan negara kita hari ini. Pemimpin silih berganti melompat dan memimpin tetapi masih belum lagi menemui azimat penawar kepada masalah negara. Di Gaza telah pun ada gencatan senjata, di Malaysia juga perlu ada “Gencatan Pertelingkahan” antara semua parti politik kepartian. Ini bukan masa untuk bertelingkah tetapi masa untuk kita mengumpulkan segala kekuatan yang berbaki, jika kita sayangkan bumi bertuah ini. Jika kita lewat dan tidak bangkit manjadi satu dan masih terus bertelingkah, bimbang nanti kita terlewat dan nanti kita akan kian tertinggal. Jangan sampai nanti kita menjadi pendatang tanpa izin dinegara jiran pula.
Dato’ Ikbal Salam
Peguambela & Peguamcara
Johor Bahru