LONDON – Arsene Wenger mengakui Preston North End ‘bernasib malang’ apabila tewas kepada Arsenal pada perlawanan Piala FA awal pagi ini dan mengkritik persembahan Gunner pada separuh masa pertama walaupun pasukannya mencatatkan kemenangan 2-1.
Aksi Arsenal terencat untuk kali kedua pada minggu ini (kali pertama ketika bangkit untuk mengikat Bournemouth 3-3) apabila ketinggalan hanya selepas tujuh minit permainan bermula menerusi jaringan Callum Robinson yang mengambil kesempatan daripada persembahan buruk pertahanannya.
Preston dihidangkan dengan beberapa peluang bagi menggandakan jaringan sebelum separuh masa pertama berakhir apabila Arsenal terus melakukan kesilapan namun pasukan pelawat itu bertindak balas selepas rehat menerusi jaringan Aaron Ramsey pada minit ke-46 dan gol kemenangan Olivier Giroud pada minit ke-89.
Ia seperti perlawanan menentang Bournemouth pada Selasa lalu yang mana lawannya bermain lebih baik daripada Arsenal pada separuh masa pertama sebelum pasukan itu bangkit memenangi perlawanan pada minit-minit akhir dan Wenger tidak gembira mengenainya.
“Apa yang positif pada separuh masa pertama ialah kami ketinggalan 0-1,” kata Wenger kepad BT Sport.
“Ia adalah aksi yang berbeza pada separuh masa kedua tetapi mereka bertahan dengan baik.
“Mereka (Preston) sedikit tidak bernasib baik kerana mereka mencipta banyak peluang pada separuh masa pertama dan kami perlu melakukan segalanya untuk memenangi perlawanan ini.
“Kami tidak bersaing pada separuh masa pertama, kalah dalam semua aspek. Kami tidak teguh dan tidak memenangi sebarang persaingan.
Kami tewas pada separuh masa pertama, tetapi kadang kala apabila anda keluar daripada sambutan Krismas dan tidak sedar anda merasai ia lebih mudah namun sebenarnya ia lebih sukar pada persaingan Piala FA,” katanya.