Home Nasional Aktiviti lebur tembaga haram dalam kebun sawit tumpas

Aktiviti lebur tembaga haram dalam kebun sawit tumpas

Kegiatan sindiket melebur tembaga secara haram berjaya dipatahkan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan penahanan lapan lelaki berdekatan Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam awal pagi semalam.

KLUANG – Kegiatan sindiket melebur tembaga secara haram berjaya dipatahkan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan penahanan lapan lelaki berdekatan Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah BN.5 PGA, Superintendan Dimin Awang, berkata, lima daripada lapan yang ditahan merupakan warga asing dan sindiket itu dipercayai beroperasi tanpa lesen lebih setahun lalu di kawasan kebun kelapa sawit.

Beliau berkata, pihaknya percaya ia membabitkan nilai rampasan lebih RM3.5 juta.

“Serbuan 4.30 pagi semalam, Batalion 5 PGA menahan tiga lelaki tempatan berumur lingkungan 24 hingga 44 tahun, empat lelaki warga China dan seorang lelaki warga Bangladesh berumur lingkungan 30 hingga 66 tahun di Jalan PTD 1314, Kampung Ibrahim Majid.

“Hasil siasatan awal mendapati semua suspek menjalankan aktiviti melebur tembaga campuran dipercayai secara salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara barang dirampas adalah enam guni putih berisi kepingan tembaga campuran, 24 palet berisi kepingan tembaga campuran, 41 guni putih berisi tembaga campuran dan 13 jongkong tembaga dengan anggaran berat setiap satu 450 kilogram.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Kluang untuk tindakan Ianjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 6 Akta Barang Lusuh (ABL) dan Sek 6(1) Akta Imigresen.-MalaysiaGazette