KUALA LUMPUR – Keluarga salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan LRT, Wong Chee Foong, telah menghantar Notis Tuntutan Undang-undang kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk menuntut RM1.8 juta kerana kerosakan yang dialami mangsa.
Menurut satu kenyataan, keluarga mangsa telah merujuk kepada kenyataan media Prasarana yang mana pengendali LRT itu menyatakan Prasarana akan memberi pampasan sebanyak RM1,000 untuk setiap mangsa dan menyediakan perbelanjaan perubatan selain kehilangan sumber pendapatan.
Bagaimanapun, tambahnya, keluarga Chee Foong menyatakan pampasan RM1,000 yang diumumkan Prasarana sebelum ini bukannya jumlah pampasan yang dapat membela mangsa kerana kerosakan yang dialaminya adalah besar.
Tambahnya, adalah mengecewakan sehingga hari ini tiada respon dan pendekatan yang betul diambil Prasarana dalam menghubungi keluarga mangsa
“Berikutan itu, pada pagi ini keluarga mangsa menerusi peguam Jazzmine Khoo of Messrs Jazzmine Khoo & Associates menghantar Notis Indang-Indang Permohonan untuk menuntut RM1.8 juta kerana kerosakan yang dialami mangsa,” katanya.
Menurut kenyataan itu, tuntutan tersebut meliputi perbelanjaan perubatan, kerosakan fizikal, mental dan tekanan emosi, trauma, kehilangan pendapatan, kerosakan khas dan am serta kecuaian.
Menurut satu kenyataan, Chee Foong, 52, merupakan salah seorang penumpang LRT yang mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan di Unit Penjagaan Intensif (ICU) Hospital Kuala Lumpur.
Chee Foong bekerja sebagai cef di sebuah hotel lima bintang, ujarnya.
Beliau mempunyai empat anak berusia antara 3 hingga 15 tahun dan merupakan sumber tunggal pendapatan kepada keluarganya.
Menurut kenyataan itu, pada hari kejadian, 24 Mei lalu, mangsa yang pulang daripada bekerja menaiki tren dari stesen KLCC sepatutnya keluar dari stesen Masjid Jamek sebelum mengambil tren lain ke Cheras
Katanya, Chee Foong mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan muka selain mengalami kecederaan tulang belakang dan kini sedang menjalani beberapa pembedahan dan rawatan.
Chee Fong masih berada di ICu dan masih tidak sedarkan diri, tambahnya.
Menurut kenyataan itu, keluarga tersebut berharap Prasarana akan menjawab surat tersebut dan tampil memberi cadangan penyelesaian yang lebih mesra dan wajar kepada mereka kelak. – MalaysiaGazette