KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan 150,000 orang menerima vaksin sehari selewat-lewatnya pada hujung Jun ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, sehingga kini kadar vaksinasi di seluruh negara sudah mencecah 100,000 dos sehari.
“Bermula 27 Mei lalu sebanyak 107,340 dos vaksin sehari, namun selepas hujung minggu angka itu yang agak menurun akan kembali konsisten.
“Kerajaan berusaha mencapai kadar suntikan 150,000 sehari menjelang akhir bulan Jun atau lebih awal lagi,” katanya pada sidang media mingguan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Pada masa sama, Khairy berkata, Malaysia menerima vaksin jenis Pfizer sebanyak 444,600 dos pada minggu ini, bermula Rabu.
Ujarnya, bagi vaksin Sinovac pula, sebanyak 668,520 dos yang dibotolkan melalui pematuhan ke atas keperluan Lot Release diterima minggu ini.
Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) diberi kebebasan menggunakan apa juga cara bagi memastikan penduduk di kawasan dan negeri masing-masing mendapat vaksinasi Covid-19.
Ia adalah antara inisiatif kerajaan dalam memastikan penduduk di negara ini mendapat vaksinasi terhadap wabak berkenaan.
Tambahnya, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memutuskan untuk memperkasakan PKD dan Jabatan Kesihatan Negeri bagi melaksanakan inisiatif berkenaan, termasuk mewujudkan unit bergerak yang boleh terus ke lokaliti.
“Sebagai contoh, beberapa hari lalu Jabatan Kesihatan Terengganu meminta kebenaran CITF melaksanakan unit bergerak untuk ke kampung dan memberi vaksinasi rumah ke rumah.
“Ini berjaya dilaksanakan dan kita beri kebebasan kepada negeri dan daerah untuk mengatasi masalah ini.
“Jika mereka enggan keluar rumah, kita akan menggunakan unit bergerak untuk pergi kepada mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette