GEORGE TOWN – Aliran trafik sesak di beberapa laluan menghala masuk Jambatan Pulau Pinang di sini sejak pagi tadi dan berlarutan sehingga kini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kesesakan berlaku kira-kira tiga kilometer di laluan masuk ke Jambatan Pulau Pinang dari arah pusat bandar walaupun bukan waktu puncak.
Selain laluan itu, sehingga jam 5 petang tadi, kesesakan dilaporkan masih berlaku di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu (dari arah Queensbay) serta Jalan Batu Uban.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kesesakan berlaku disebabkan pemeriksaan lebih ketat oleh pihaknyas dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di kedua-dua laluan utama menghala masuk Jambatan Pulau Pinang.
“Susulan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) esok jadi kita lebih teliti dalam pemeriksaan SJR hari ini agar semua pengguna yang melalui laluan itu betul-betul atas urusan yang memerlukan.
“Setakat ini, hampir 50 kenderaan diarah berpatah balik kerana tiada dokumen dan ada yang dokumen tak lengkap,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Pada Jumaat lalu melaporkan, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula 1 Jun hingga 14 Jun depan.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan malam ini berkata, menerusi total lockdown atau perintah berkurung penuh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara. – MalaysiaGazette