Home Nasional Pelajar belum pulang ke kampus, tangguh dulu pergerakan – KPT

Pelajar belum pulang ke kampus, tangguh dulu pergerakan – KPT

Ministry of Higher Education (MOHE) public university fee discount IPTA
Ministry of Higher Education (MOHE)

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menguatkuasakan beberapa perkara berhubung pengoperasian institusi-institusi pengajiannnya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) di seluruh negara bermula esok.

Menerusi kenyataan KPT, memaklumkan antara yang dikuatkuasakan adalah pelajar berkeperluan sudah berada di kampus diminta untuk terus kekal berada di kampus.

Bagi pelajar berkeperluan yang masih belum pulang ke kampus, mereka diminta untuk menangguhkan pergerakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan dan pelajar perlu kekal berada di lokaliti masing-masing serta meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian, katanya.

“Pelajar perlu berada di dalam kampus dan hanya dibenarkan keluar dengan kebenaran pengurusan IPT dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP),” demikian menurut kenyataan hari ini.

Bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran pula, semua aktiviti PdP secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.

Katanya, aktiviti penyelidikan yang melibatkan kemudahan makmal dan peralatan khas yang berkeperluan sahaja dan secara individu adalah dibenarkan dengan kebenaran ketua jabatan mengikut SOP yang ketat.

Tambahnya, pihak IPT bertanggungjawab untuk memastikan SOP dipatuhi oleh semua pelajar berkenaan dan pelajar luar kampus yang terlibat dengan aktiviti penyelidikan dan memerlukan kemudahan makmal serta peralatan khas perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus dari IPT masing-masing.

Menurut KPT lagi, kesemua staf akademik dan bukan akademik diarah supaya bekerja dari rumah (BDR) dan kehadiran ke pejabat hanya boleh dibenarkan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR.

Jeasnya, kehadiran staf akademik dan bukan akademik bagi semua IPT hendaklah tidak melebihi 20 pertus dan penggiliran kakitangan adalah bagi tempoh maksimum empat jam sahaja.

“Staf akademik dan bukan akademik tidak dibenarkan hadir ke pejabat kecuali untuk perkhidmatan perlu dengan disertai dokumen arahan rasmi daripada IPT masing-masing dan pas pekerja.

“Semua mesyuarat dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan. Tiada perjumpaan atau aktiviti secara fizikal,” ujarnya.

Sementara bagi perkhidmatan perlu seperti bank, farmasi, kedai runcit, dobi dan kafeteria ia adalah dibenarkan beroperasi mengikut SOP dan masa yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Bagi perkhidmatan kafeteria, penyediaan makanan adalah secara bugkusan sahaja dan penggunaan fasiliti guna sama di asrama dan kampus perlu dipantau bagi memastikan penguatkuasaan SOP.

Dalam perkembangan lain, KPT memberitahu, pelajar yang menduduki peperiksaan antarabangsa atau badan profesional dibenarkan tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat serta Penjadualan peperiksaan antarabangsa dan badan profesional itu diuruskan sepenuhnya oleh organisasi profesional dan antarabangsa.

Jelasnya, IPT hanya membuat penyelarasan dari segi kemudahan fasiliti sahaja dan sebarang perubahan dari segi penjadualan adalah tertakluk kepada organisasi tersebut.

Sementara itu, KPT berkata, kemasukan pelajar antarabangsa adalah tertakluk kepada SOP sedia ada yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dari semasa ke semasa.

“Kementerian prihatin dan menyedari kepentingan dalam memastikan keperluan program pengajian pelajar IPT berjalan dengan sempurna walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Justeru, pelajar-pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian IPT dalam tempoh PKP melalui Bilik Gerakan Covid-19 yang dibuka 24 jam di talian 03-
8870 6777/6949/ 6623/ 6628 atau melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing. – MalaysiaGazette