Home Utama Kartel PDRM: Kami angkat tangan, biar EAIC siasat – KPN

Kartel PDRM: Kami angkat tangan, biar EAIC siasat – KPN

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meminta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk menyiasat dakwaan wujud kartel dalam pasukan itu seperti didakwa oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador April lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah menulis surat kepada suruhanjaya berkenaan untuk mengambil alih siasatan dalam soal kartel PDRM dan mahu siasatan dilakukan segera.

“Saya serius dan sedia maklum dakwaan berlaku isu kartel dalam PDRM, jadi kita sudah menulis surat mempelawa EAIC untuk menyiasat perkara ini dengan segera dan mereka sedang meneliti permintaan kami dalam hal ini.

“Kami tak boleh menyiasat sebab ia hanyalah tohmahan dan hanya pihak ketiga yang boleh menyiasat dan memberi keputusan yang mana EAIC satu suruhanjaya bebas dan mempunyai reputasi yang baik serta berupaya mengendalikan hal ini.

“Kami hands off (angkat tangan) dalam perkara ini, biar mereka (EAIC) datang dan siasat secara telus kerana dari dulu hingga sekarang PDRM ialah anggota masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Dewan Theatrette Bukit Aman menjelang Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 Lebih Diperketatkan atau Total Lockdown (Sekatan Pergerakan Sepenuhnya) yang akan dilaksanakan mulai esok.

Acryl Sani juga memetik kata-kata Bapa Polis Moden, Sir Robert Peel yang menyifatkan polis dan masyarakat berpisah tiada atau lebih tepat polis adalah masyarakat dan masyarakat adalah polis.

Menurut beliau, cogan kata PDRM ‘Kita Sedia Berkhidmat’ sentiasa dipatuhi oleh seluruh anggota berlandaskan disiplin, memastikan setiap usaha langkah yang dibuat PDRM menegakkan integriti dan disematkan dalam amalan harian.

“PDRM tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dan sentiasa menyeru anggota PDRM tidak melupakan cogan kata Sang Saka Biru dan lambang yang sentiasa dibawa dari mula melangkah ke dalam pusat latihan sehingga bersara nanti,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. KPN dulu tidak berfikir ke nak bagi idea macam ini, minta badan Integriti siasat, atau tidak tahu suruhanjaya ini wujud.

Comments are closed.