Home Politik DAP akan naik kadar air P. Pinang jika menang PRU-14

DAP akan naik kadar air P. Pinang jika menang PRU-14

Datuk Liang Teck Meng

KUALA LUMPUR – Datuk Liang Teck Meng tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri Pulau Pinang akan memohon menaikkan caj air sekiranya DAP berkuasa lagi selepas PRU-14.

Setiausaha Agung Parti Gerakan itu berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebenarnya tidak berani bercakap benar mengenainya.

“Tidak ramai orang yang akan percaya dakwaan Guan Eng bahawa SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) adalah pihak yang ‘memaksa’ Pulau Pinang untuk menaikkan kadar air, lebih-lebih apabila ia telah membawakan peningkatan hasil yang tinggi kepada kerajaan negeri setiap kali harga tarif air dinaikkan.

“Setiap kali Ketua Menteri Pulau Pinang merupakan pihak yang pertama sekali membangkit dan antara yang paling lantang bersuara mempertahankan kenaikan kadar air yang kononnya ‘dipaksa’ ke atas Pulau Pinang oleh SPAN,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian mengulas tuduhan Guang Eng yang mendakwanya pengecut baru-baru ini.

Menurut Teck Meng, Guan Eng hanya berdolak-dalik dan mencabarnya bersikap berani dan mendedahkan semua surat antara SPAN dan agensi mengawal air negeri dan biar rakyat sendiri mengadilinya.

“Surat-surat itu akan membolehkan orang ramai membuat penilaian sendiri pihak mana yang sebenarnya meminta kenaikan itu, termasuk kenaikan besar dan meluas yang diminta pada Disember 2016, yang tiba-tiba ditarik balik pada akhir Februari 2017, besar kemungkinan ia akan muncul semula selepas PRU-14,” dakwa Teck Meng.- MalaysiaGazette