Home Seni Hidup Waris ‘mengamuk’ tak percaya Covid-19 antara cabaran urus jenazah – SPJM

Waris ‘mengamuk’ tak percaya Covid-19 antara cabaran urus jenazah – SPJM

Pengerusi Persatuan Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Refieudin Zainal Rasid.

GOMBAK – Terpaksa berdepan dengan waris jenazah yang ‘mengamuk’ kerana tidak mempercayai kewujudan Covid-19 merupakan detik yang tidak boleh dilupakan.

Tidak cukup dengan itu, waris berkenaan turut menanggalkan pakaian perlindungan diri (PPE) yang dipakai ketika para petugas sedang menguruskan jenazah arwah bapanya yang dijangkiti pandemik tersebut.

Itu antara pengalaman yang ditempuh Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Ustaz Muhammad Rafieudin Zainal Rasid bersama pasukannya ketika menguruskan proses pengebumian jenazah yang dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, memakai PPE ketika cuaca panas terik pada bulan Ramadan turut menjadi sebahagian daripada situasi yang tidak dapat dielakkan.

“Pernah satu ketika di awal musim Covid-19 dan jumlah kematian pun tidak berapa banyak, ada satu waris yang tidak percaya tentang Covid-19, dakwanya pandemik itu merupakan satu konspirasi dan sebagainya.

“Jadi, dia pakai PPE pada awalnya untuk ikut kebumikan jenazah bapanya tetapi bila sampai satu tahap dia rasa stress dan terus buka PPE ketika sedang kebumikan arwah.

“Jadi itu antara cabaran yang perlu dihadapi oleh kami untuk menenangkan waris-waris supaya menerima takdir yang telah terjadi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Rafieudin berkata, kesemua petugas SPJM juga merupakan individu yang berjiwa besar kerana sentiasa menjalankan tanggungjawab fardu kifayah itu secara sukarela.

Sehingga ada pada hari-hari tidak ada menguruskan jenazah, ada dalam kalangan petugasnya bertanya sama ada khidmat mereka diperlukan atau tidak.

“Sebab itu apabila pihak pengurusan tanah kubur kata mereka kekurangan tenaga untuk mengebumikan jenazah sehingga ada kuota bilangan jenazah pada satu-satu masa, saya terus katakan kami ini sukarelawan jadi ramai anak-anak muda yang boleh memberikan khidmat.

“Bila tenaga muda ini ramai, apa salahnya kita bawa mereka untuk bantu urusan pengebumian ini terutamanya untuk membantu petugas tetap yang memang sudah penat bekerja sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.

“Saya faham pengurus jenazah, tukang gali kubur penat untuk berhadapan dengan situasi ini setiap hari jadi inilah masanya kita bagi peluang kepada anak muda untuk menyumbang tenaga mereka secara tidak langsung,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Rafieudin berkata, SPJM amat mengalu-alukan mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat wabak Covid-19 untuk menghubungi badan bukan kerajaan (NGO) itu bagi mendapatkan nasihat mahu pun bantuan.

“Bersabarlah, jangan panik atau down dengan situasi tersebut, perkara pertama adalah tentukan dimana hendak kebumikan jenazah, kalau rasa perlukan bantuan atau nasihat mungkin sewaktu tengah malam jadi boleh rujuk kepada kami SPJM kerana akan ada petugas yang akan membantu,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tanah kubur terhad, waktu pengebumian singkat – SPJM