KUALA LUMPUR – Masih terdapat pengguna jalan raya yang masih menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang tidak sah selepas pukul 12.01 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pemeriksaan secara rambang ke atas kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Rawang-Ipoh di hadapan Pasar Borong Selayang awal pagi ini mendapati masih banyak kenderaan yang bergerak di atas jalan.
“Semasa pemeriksaan setiap pengguna faham bahawa ada peraturan baharu selama 14 hari akan datang serta tak boleh bergerak melebihi radius 10 kilometer dari kawasan mereka untuk keperluan lain dan perlunya kebenaran untuk merentas daerah selepas ini.
“Maka kita akan perketatkan lagi kawalan dan pemeriksaan secara teliti bermula serta merta yang mana SJR ini berfungsi selama 24 jam sehingga selesai lockdown penuh ini.
“Kita juga melaksanakan penutupan di Jalan Selayang Segar dan juga Selayang Pandang secara kekal menggunakan bariket batu menghalang pergerakan, memastikan rakyat di sini mematuhi prosedur operasi standard lebih ketat yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita di lokasi SJR itu di sini awal pagi.
Justeru katanya, polis menjangkakan jumlah aliran kenderaan di jalan utama itu akan meningkat mulai pagi ini.
Berikutan itu, Arifai menasihati orang awam supaya menyediakan dokumen lengkap untuk perjalanan yang mereka lakukan.
Sementara itu, Arifai berkata, polis ini tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas mulai pagi ini terhadap mereka yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) semasa Perinteh Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh seperti mana yang disarankan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa rakyat perlu sedar ini bukan pengalaman pertama kita mengharungi SJR kerana sudah hampir dua tahun sudah melalui situasi ini dan tidak lagi menerima alasan tidak tahu peraturan dan undang-undang PKP,” ujarnya.
Malah katanya, kenderaan yang kebanyakan berulang alik tengah malam tadi adalah bersangkut dengan perkhidmatan penting makanan, barang basah dan barang pasar borong dan harian.
Arifai berkata, pengalaman sepanjang 430 hari mengendalikan sekatan jalan dan PKP memudahkan pasukannya menguruskan total lockdown.
“Kita disokong oleh tentera, Majlis Perbandaran Selayang dan Jabatan Kerja Raya yang menyediakan segala kemudahan yang cukup kali ini untuk melicinkan pelaksanaan PKP kita kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette