KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO berharap peruntukan yang banyak dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) mendatangkan impak berganda.
Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengingatkan supaya tidak berlaku ketirisan, ketidakcekapan sistem serta pembaziran pelaksanaan Pemerkasa+.
Lantaran itu, beliau meminta segala insentif Pemerkasa+ yang diumumkan akan segera dilaksanakan tanpa berlengah, dengan telus, amanah dan cekap.
Menurutnya, Pemerkasa+ yang diumumkan oleh Perdana Menteri malam tadi adalah langkah penting yang sangat diperlukan.
“Meningkatkan kapasiti kesihatan awam adalah intervensi kritikal pada masanya. Malaysia sangat memerlukan lebih banyak ICU, sumber tenaga dan program vaksinasi.
”Menyedari kekangan fiskal Kerajaan, amatlah penting setiap sen peruntukan untuk peningkatan kapasiti sektor kesihatan awam ini dimanfaatkan dengan telus dan mendatangkan impak sebaiknya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohamad berkata, kerajaan mesti mengambil pengajaran dari pembangunan sistem pendaftaran vaksinasi, yang walaupun besar tetapi tidak berfungsi dengan baik dan menimbulkan kesusahan kepada rakyat.
Selain itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ini turut menyifatkan lanjutan Bantuan Prihatin Rakyat juga sangat bertepatan dengan keadaan semasa.
Katanya, kerajaan sedaya upaya berusaha meluaskan bantuan ini kepada seramai mungkin rakyat.
Namun, strategi ini boleh diperbaiki dengan memastikan golongan paling terjejas menerima lebih banyak bantuan.
”Ekuiti dalam pengagihan bukan bermakna semua mendapat bantuan yang saksama. Mereka yang memerlukan lebih wajar menerima lebih banyak dan yang kurang terjejas, menerima sekadarnya,” ujar beliau.
Berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk tidak mengambil gaji bagi tempoh tiga bulan, beliau berkata, langkah ini disambut baik.
Namun ia janganlah sekadar gaji, sebaliknya mesti termasuk pelbagai elaun dan imbuhan keraian yang selalunya lebih banyak dan tinggi, mengatasi gaji para Menteri.
Jelasnya, kepimpinan melalui teladan dalam saat krisis segenting ini adalah kemestian yang sepatutnya telah lama dipamerkan. – MalaysiaGazette