Home Politik RM5 bilion suntikan tunai untuk PKP penuh tidak memadai, kata PH

RM5 bilion suntikan tunai untuk PKP penuh tidak memadai, kata PH

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (dua kiri); Presiden PKR., Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kiri) dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu (tiga kanan). foto FAREEZ FADZIL, 05 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) kecewa apabila mendapati hanya RM5 bilion adalah tunai baharu diperuntukan , dan bukannya RM45 bilion seperti yang diperlukan ekonomi negara untuk mengatasi kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

Tiga pemimpin parti dalam PH, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausana Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya lebih berani berbelanja untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menyelamatkan negara dari kancah kemelesetan.

“Suntikan tunai RM5 bilion sahaja langsung tidak memadai apabila PKP 3.0 dijangka mendatangkan kerugian RM2.4 bilion sehari, serupa PKP 1.0 dahulu. Kesan kerugian kepada ekonomi dijangka berjumlah RM60 bilion bagi PKP 3.0 ini.

“Suntikan terus RM45 bilion ke dalam ekonomi, berbanding RM5 bilion yang dilakukan Kerajaan, akan benar-benar membantu mengurangkan kesan kerugian RM60 bilion tersebut,” kata ketiga-tiga pemimpin itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan peruntukan sebanyak RM40 bilion bagi pakej rangsangan Pemerkasa+.

Inisiatif itu, katanya, bagi meredakan cabaran pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat mulai hari ini hingga 14 Jun ini.

Sementara itu, PH berkata, kerajaan PN perlu memberi bantuan kewangan secara berkala untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan ekonomi negara.

“Bantuan kewangan perlu bukan sahaja bagi kelompok B40, tetapi juga M40 untuk memastikan mereka tidak akhirnya tergolong ke dalam kelompok B40 nanti,” kata kenyataan itu lagi.

Justeru itu, PH mendesak agar kerajaan meningkatkan bantuan kebajikan bulanan kepada RM1,000, termasuk bagi yang tidak bekerja.

Pelanjutan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik, tanpa melibatkan kelompok T20, sehingga PICK lengkap pada hujung tahun ini, turut dituntut gabungan pembangkang itu.

Selain itu, insentif pengambilan pekerja bagi jangka masa dua tahun, melibatkan insentif gaji RM500 sebulan bagi pekerja warganegara dan insentif pengambilan kerja RM300 sebulan bagi majikan, sejumlah peruntukan RM3.5 bilion bagi Kementerian Kesihatan untuk mempercepat serta mempermudah Program Imuniasasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) dan RM28 bilion dalam bentuk geran; subsidi upah, sewa dan utiliti; jaminan pinjaman dan pelanjutan kredit untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Mengulas lanjut, PH berkata, tindakan barisan jemaah Menteri bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini tidak banyak membawa perubahan kepada negara.

“Berapa sangat yang para Menteri dan Timbalan Menteri hilang (pendapatan) dengan tidak mengambil gaji, apabila mereka masih menerima elaun bulanan Ahli Parlimen, malah lebih penting dari itu mereka masih mempunyai peruntukan tahunan RM5 juta.

“Menteri-menteri tidak perlu menggunakan elaun Ahli Parlimen mereka untuk biaya staf dan pejabat atau untuk memberi bantuan kepada penduduk di kawasan mereka,” kata PH lagi. – MalaysiaGazette