Home Utama Polis beri kelonggaran 3 hari surat kebenaran MITI

Polis beri kelonggaran 3 hari surat kebenaran MITI

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (dua kanan) meninjau operasi sebuah kilang elektronik dalam operasi pematuhan SOP susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun di sekitar Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 JUN 2021.

PETALING JAYA – Polis memberi kelonggaran sehingga tiga hari kepada mana-mana pihak untuk mendapatkan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kelonggaran itu diberikan susulan masih ada pihak industri yang menggunakan surat lama.

“Mana-mana syarikat yang masih belum mendapatkan (surat kebenaran) daripada MITI, kita bagi tempoh tiga hari.

“Kita dapati ada yang masih menggunakan surat dulu, mereka kata ada yang proses lambat.

“Malam ini baru dapat atau proses telah diberikan sudah dihantar tapi belum dapat kelulusan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Beliau mengulas masalah pihak industri kategori perkhidmatan keperluan yang masih tidak mendapat surat kebenaran daripada MITI bagi beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang berkuatkuasa hari ini hingga 14 Jun ini.

Beliau juga berkata, kelonggaran sehingga tiga hari itu diberikan oleh Ketua Polis Selangor sehingga 4 Jun ini.

“Tempoh tiga hari ini selaras di semua kawasan kerana ia arahan daripada Ketua Polis Selangor.

“Selepas tempoh itu kita terus kuatkuasakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Sementara itu, bagi surat kebenaran untuk rentas daerah dan negeri pula, ia hanya dikeluarkan oleh pihak polis sahaja.

“Untuk kelulusan rentas negeri itu mereka perlu mendapatkan daripada polis,” katanya. – MalaysiaGazette