Home Dunia Peru rekod kematian tertinggi di dunia

Peru rekod kematian tertinggi di dunia

Peru menyemak semula kes kematian akibat Covid-19. foto Agensi

LIMA – Peru menyemak semula jumlah kematian rasmi akibat Covid-19 kepada 180,764, lebih dari dua kali ganda berbanding 69,342 kematian yang dilaporkan.

Angka yang disemak semula itu bagi tempoh dari 1 Mac 2020 hingga 22 Mei 2021, kata Marushka Chocobar, Presiden Kumpulan Kerja Teknikal yang diwujudkan oleh Kerajaan Peru.

Ia menjadikan jumlah kes kematian di Peru tertinggi pada kadar per kapita, menurut Universiti Johns Hopkins.

“Peru kini mencatatkan kematian tertinggi di dunia berdasarkan saiz populasi,” kata data tersebut.

Sebelum ini, Hungary merekodkan kematian tertinggi berdasarkan per kapita iaitu 300 kematian dalam setiap 100,000 populasi.

Kini, Peru menunjukkan lebih daripada 500 kematian bagi setiap 100,000 orang.

Menurut Chocobar, kumpulan pekerja itu menerapkan tujuh “kriteria teknikal” dan sistem baharu yang disebut Noti-Sinadef untuk menghitung kes bagi membolehkan mereka mengira angka harian yang sebenarnya dan lebih ‘hampir’ dengan apa yang berlaku di negara ini. – MalaysiaGazette