PETALING JAYA – Polis Petaling Jaya hari ini mengeluarkan kompaun bernilai RM5,000 kepada tiga individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ia susulan pelanggaran SOP kapasiti kenderaan persendirian yang dihadkan kepada dua wakil isi rumah sahaja.
“Hari ini kita ada satu kompaun dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di mana satu kenderaan itu dinaiki oleh tiga orang penumpang dan kita kenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap orang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.
Terdahulu beliau mengetuai Operasi Pematuhan PKP 3.0 Penuh melibatkan lapan premis termasuk kilang, sektor swasta dan awam di sekitar Petaling Jaya.
Seramai 23 pegawai dan 65 anggota daripada IPD Petaling Jaya digerakkan dalam operasi itu bermula jam 10.35 pagi tadi.
Antara premis yang dilawati ialah kilang Toshiba Transmission & Distribution Sdn Bhd di Kota Damansara dan Secret Recipe & Cafe Sdn Bhd di Taman Mayang, di sini.
Susulan kompaun pertama itu, Mohamad Fakhrudin menasihatkan orang ramai agar membaca SOP yang dikeluarkan MKN di laman sesawang agensi itu bagi mengelakkan kekeliruan.
“Kita nasihatkan semua orang agar sentiasa membaca SOP MKN yang dikeluarkan di laman web MKN agar mereka tidak keliru sebab selepas ini kita akan ambil tindakan yang tegas,” katanya.
Sementara itu, dalam Operasi Pematuhan PKP Penuh itu juga, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan SOP oleh pihak industri kilang khususnya yang mengehadkan sehingga 60 peratus kehadiran pekerja di premis.
“Pemantauan tadi semua ikut SOP, 60 peratus yang datang ke premis, memakai pelitup muka dan imbas MySejahtera memang kita amat berpuas hati.
“Pemantauan ini berterusan dan setakat ini kita telah buat 24 pemantauan di premis perkilangan termasuk Colgate dan Dutch Lady.
“Kita dapati syarikat-syarikat besar ini semua nya mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh MKN,” jelasnya.
Katanya, operasi pematuhan itu PKP Penuh yang bermula hari ini melibatkan 343 anggota dan 38 pegawai dari IPD Petaling Jaya.
“Kita juga dibantu pegawai penguatkuasa MBPJ, dua pasukan penguatkuasa daripada Kementerian Dalam Negeri dan satu unit dron daripada pasukan gerakan udara.
“Kita juga dalam proses untuk mendapatkan 64 anggota daripada Pasukan Polis Simpanan (FRU) untuk membantu kita menguatkuasakan SOP MKN 1 hingga 14 Jun ini.
“Manakala 30 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga membantu kita dalam penguatkuasaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette