Home Seni Hidup Pengusaha bimbang lambakan durian akibat total lockdown

Pengusaha bimbang lambakan durian akibat total lockdown

Hamzah menjual durian dari hasil kebunnya di Air Putih, Balik Pulau, Pulau Pinang.

BALIK PULAU – Setiap kali tiba musim durian, sudah pasti rata-rata penggemarnya akan mengunjungi Balik Pulau untuk menikmati keenakan ‘Raja Buah’ itu segar dari dusun.

Namun, bagi pengusaha durian situasi musim kali ini pasti agak berbeza berbanding tahun lepas apabila kerajaan melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula hari ini.

Selain kekurangan pelanggan, kebanyakan pemilik dusun serta peniaga durian kini bimbang harga raja buah itu menurun mendadak memandangkan dua minggu lagi durian akan luruh sepenuhnya.

Hamzah.

Menurut pemilik kebun dan penjual buah durian, Hamzah Ahmad,65, walaupun sudah melalui pengalaman menjual durian ketika perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu situasi tahun ini agak berbeza kerana SPP ini menyekat pergerakan peniaga dan pembeli.

Jelasnya, pergerakan dalam radius 10 kilometer menyebabkan tidak ramai penggemar durian boleh membelinya terus dari Balik Pulau kerana kedudukannya jauh dari penduduk di pusat bandar.

“Sebagai peniaga saya memang berterima kasih pada kerajaan benarkan peniaga beroperasi namun kekurangan pelanggan di sebalik kedudukan kami di atas bukit ini menyebabkan diri saya dibelenggu isu lambakan buah.

“Memang sekarang buah tak banyak sebab baru mula musim tetapi dalam tempoh dua minggu lagi sudah pasti lambakan buah dan jika pergerakan terhad dikekalkan semestinya saya terpaksa menanggung kerugian.

“Selalunya satu musim saya boleh jual tiga tan durian hasil dari dusun sendiri serta kawan-kawan tapi kali ini saya tidak mengambil hasil rakan kerana bimbang berisiko buah tidak terjual,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Jalan Air Putih, Balik Pulau hari ini.

Tambah Hamzah, penjualan durian buat penduduk setempat di Balik Pulau kurang sambutan memandangkan rata-rata penduduk kawasan itu memiliki kebun serta dusun sendiri.

Pergerakan terhad 10KM menyebabkan peniaga bimbang lambakan buah durian.

Sementara itu, pengusaha DurianKaki di Jalan Paya Terubong, Wei Tan berkata, dahulu gerainya dipenuhi pelbagai lapisan masyarakat termasuk dalam dan luar negara untuk menikmati raja buah itu, namun sekarang bukan saja penjualan merosot akibat tiada pelanggan malah harga durian turut dijangka menurun.

Jelasnya, penjualan durian kini bermula dari harga serendah RM18 hingga RM90 mengikut jenis tetapi para peniaga ada berdepan penurunan harga mendadak dua minggu akan datang apabila lambakan buah.

“Memang peniaga kini mempunyai kaedah tersendiri bagi memasarkan durian termasuk penjualan secara online tapi semua itu tidak meraih hasil seperti kehadiran pelanggan di gerai.

Wei Tan memastikan gerainya mengikut SOP ditetapkan kerajaan bagi memudahkan pelanggan membeli durian.

“Lebih menyedihkan kami sudah lengkapkan persediaan menerima pelanggan mengikut SOP ditetapkan sebelum ini, namun penggumuman total lockdown menyebabkan penjualan berlangsung sepenuhnya secara online saja.

“Apa yang kami mampu lakukan kini pergiatkan promosi jualan durian melalui semua media sosial untuk memastikan hasil musim kali ini terjual,” katanya.

Wei Tan menunjukkan laman web penjualan durian di gerainya di Jalan Paya Terubong di sini.

Tambah Wei Tan, orang ramai boleh menempah durian menerusi laman web www.duriankaki.com untuk penghantaran terus ke rumah.

“Selain itu, saya juga membuat penjualan durian sejuk beku bagi penggemar durian di Kuala Lumpur dan Johor,” ujarnya.

Bagi pemilik kebun di Batu Uban, Lean Jian Yang, 29, berkata, penjualan durian pada musim PKP tahun lalu merosot 50 peratus dan mereka kini bimbang situasi lebih buruk menimpa peraih raja durian musim ini.

Jian Yang.

Memiliki  dusun durian seluas lapan ekar, Jian Yang memberitahu penjualan online tidak serancak kehadiran pelanggan di gerai.

“Jika di gerai, orang makan tak cukup boleh tambah lagi ini kalau sudah bawa pulang tak semua pelanggan sanggup datang semula semata-mata untuk membeli durian.

“Selain itu, pelanggan tidak percaya durian yang dihantar sama seperti yang dipilih antara cabaran berniaga secara online.

“Harapan kami ketika ini pergerakan lebih 10 km dibenarkan selepas 14 Jun agar kami tidak dibebani dengan lambakan buah sekali gus hilang mata pencarian secara bermusim ini,” kata Jian Yang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. baguslah, baru rakyat Malaysia mampu beli durian. kalau tak golongan kayangan jer boleh mkn durian…harga tk masuk akal.

Comments are closed.