Home Seni Hidup Risiko dijangkiti Covid-19, bukan penghalang MPP bantu masyarakat

Risiko dijangkiti Covid-19, bukan penghalang MPP bantu masyarakat

Yusaini Amir
Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Parlimen Setiawangsa, Yusaini Amir

KUALA LUMPUR – Susulan peningkatan kes baharu Covid-19 yang melepasi angka antara 6,000 hingga 9,000 kes sejak 26 Mei lalu menyebabkan pelbagai usaha dilakukan semua pihak bagi mengekang penularan pandemik.

Kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi antara usaha untuk membendung serta memutuskan rantaian Covid-19, sama ada oleh pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kawasan penempatan penduduk bebas daripada virus pembunuh itu.

Kerja-kerja pembasmian kuman di atas permukaan pada mulanya dilakukan oleh pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagaimanapun atas kesedaran orang ramai tentang pentingnya untuk memastikan setiap kawasan bebas Covid-19, kerja-kerja nyah kuman ini kini dilakukan NGO dan persatuan penduduk sendiri.

Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Parlimen Setiawangsa, antara persatuan penduduk yang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi di kawasan perumahan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu.

Pengerusinya, Yusaini Amir berkata, meskipun kini sudah memasuki PKP 3.0, namun kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi itu terus dilakukan dengan mengutamakan kawasan kes penularan dalam komuniti dan kematian akibat Covid-19.

“Kami ambil pendekatan, mana-mana kawasan yang kena Covid-19 seperti menara-menara dan perumahan di Setiawangsa, kami ambil inisiatif dengan membuat sanitasi.

“Kami akan buat sanitasi selepas tiga hari sesuatu kawasan itu dijangkiti Covid-19. Di Setiawangsa sahaja, kita ada enam sub zon dan kami dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Petugas sanitasi MPP Parlimen Setaiwangsa
Petugas sanitasi sedang membuat semburan disinfeksi di sebuah rumah di Menara Cenderawasih Keramat, Setiawangsa, baru-baru ini.

Yusaini tidak menafikan khidmat mereka mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat susulan kesedaran tinggi terhadap usaha membasmi wabak ini yang semakin parah sejak awal tahun ini.

“Hampir 80 peratus kita buat sanitasi di Parlimen Setiawangsa dan kita akan terus kepada kes kematian Covid-19, kita akan bertindak awal, selepas pengebumian, dua hari selepas itu kita akan buat sanitasi rumah mangsa dan kawasan-kawasan terlibat.

“Sanitasi dan disinfeksi bermula sejak PKP 1.0 di mana hampir 100 peratus kawasan semua kita sudah buat sanitasi, oleh sebab wabak itu datang, kita buat sekali lagi.

“Khidmat kami memang mendapat permintaan tinggi daripada penghuni-penghuni rumah melalui persatuan penduduk.

“Boleh kata semua menara kita dah buat (bangunan berstrata), Menara Merak Kayangan sudah beberapa kali ada mangsa Covid-19, kita akan buat sanitasi,” jelasnya.

Walaupun kerja-kerja sanitasi ini berisiko tinggi dan terdapat beberapa petugasnya dijangkiti Covid-19, namun ia tidak menjadi halangan kepada MPP untuk terus membantu masyarakat mendepani wabak itu.

“Itu kita tak nafikan, ada ahli-ahli MPP yang terkena Covid-19, selalunya kita akan minta mereka berehat dan kalau teruk kita akan rujuk dengan KKM.

“Kita ada 20 set PPE yang telah disediakan untuk petugas sanitasi secara bergilir-gilir malah PPE kita pula boleh dibasuh dan digunakan semula, agak tebal juga.

“Malah kita mendapat latihan daripada DBKL dan KKM Setiawangsa bagi memastikan kita mematuhi SOP sepanjang membuat sanitasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette