KUALA LUMPUR – Belum sampai seminggu selepas didakwa kes rasuah di Mahkamah Shah Alam, seorang kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak sekali lagi berdepan dengan tuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh merupakan Penolong Pengarah (N41) Bahagian Komunikasi Korporat di UIAM berdepan dengan empat pertuduhan sama berjumlah RM32,000 berhubung bayaran beberapa baucer bayaran pada tujuh tahun lalu.
Namun tertuduh, Mohd.Hakimi Mohd. Badrol Afandi, 44, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan sebentar dan mohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga empat, beliau didakwa secara rasuah memperoleh wang tunai RM32,000 daripada seorang individu yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh.
Jumlah itu merupakan ‘dorongan’ membantu memudahkan urusan tiga buah syarikat mendapatkan kerja-kerja berkaitan baucer bayaran di universiti berkenaan.
Antara kerja itu termasuklah The Modification Works IIUM Gallery and Official Launching By IIUM President dan Printing Packages of IIUM Corperate Collateral (Executive Diaries, Notebook and Planner) 2015.
Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Cawangan Maybank Gombak di Jalan Meranti Taman Setapak di sini antara 13 November 2014 hingga 30 Mac 2015.
Jika sabit kesalahan bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum 20 tahun.
Juga denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pilihan sama yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Alif Shaharuzaman telah memohon jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin yang telah ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 27 Mei lepas.
Tertuduh yang sudah berkhidmat lebih 12 tahun di UIAM juga tidak diwakili peguam.
Hakim Mahkamah Sesyen, Emelia Kaswati Mohamad Khalid kemudian membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 29 Jun bagi sebutan semula di Mahkamah Sesyen Shah Alam. -MalaysiaGazette